Utama Android Samsung Samsung dilapor menangguhkan kemaskini One UI 7 untuk Galaxy S24, Z Fold...

Samsung dilapor menangguhkan kemaskini One UI 7 untuk Galaxy S24, Z Fold 6, Z Flip 6

45
0

Samsung dilaporkan telah menangguhkan penerbitan kemaskini One UI 7 untuk siri Galaxy S24, Galaxy Z Fold 6, dan Galaxy Z Flip 6. Menurut pentiris maklumat popular Ice Universe, penerbitan tersebut ditangguhkan berikutan terdapat penemuan “ralat yang serius.”

Pengguna Galaxy S24 di Korea Selatan dilaporkan mengalami masalah untuk menyahkunci telefon pintar masing-masing selepas kemaskini tersebut. Ia dikatakan menjadi punca mengapa Samsung untuk memutuskan untuk melaksanakan penangguhan. Selain itu, turut dilaporkan perkara ini telah dibawa ke forum Samsung Korea sepanjang hujung minggu lalu bagi membincangkan penangguhan kemaskini tersebut.

Pada awalnya masalah ini dianggap hanya berlaku pada model-model Galaxy S24 yang menggunakan pemprosesan Exynos 2400. Namun, kemaskini ini dilihat turut ditangguhkan untuk model-model yang menggunakan Snapdragon. Setakat ini tiada maklumat sama ada ralat ini turut melibatkan Fold 6 dan Flip 6.

Bagaimanapun, seorang pengguna X @tarunvats33 turut mendakwa Samsung turut mengalih keluar kemaskini untuk telefon pintar boleh lipat berkenaan.

Samsung setakat ini belum mengeluarkan kenyataan rasmi dan mengesahkan penangguhan kemaskini yang disebabkan isu yang didakwa ini. One UI 7 telah pun mula ditawarkan untuk peranti-peranti Samsung keluaran tahun lepas tersebut untuk pengguna di Korea Selatan, dan dijangka pasaran-pasaran lain akan menyusul selepas itu.

Mengikut jadual, penawaran kemaskini untuk pasaran Malaysia adalah pada hari ini. Namun setakat apa yang kami maklum, masih belum menerima sebarang notifikasi untuk kemaskini pada peranti-peranti tersebut.

Penemuan ralat ini merupakan cabaran buat Samsung setelah mengambil masa yang lama untuk memperkenalkan kemaskini yang stabil selepas berbulan-bulan melaksanakan pengujian.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.