Xiaomi pada tahun ini sekali lagi memperkenalkan telefon pintar mercu paling bombastik di kalangan siri keluarannya, Xiaomi 15 Ultra. Segala-galanya yang terbaik dimuatkan ke dalam telefon pintar ini termasuk sistem kameranya yang dibangunkan secara bersama dengan Leica yang ditambahbaik.
Kamera-kamera tersebut merangkumi sensor utama 1-inci 50MP bersama-sama sensor telefoto baharu 1/1.4-inci 200MP yang dikatakan mampu mengambil imej yang indah tanpa kelihatan ‘terlebih proses’.
Bersama-sama pemprosesan mudah alih termaju Qualcomm Snapdragon 8 Elite, Xiaomi 15 Ultra turut dicanggihkan lagi kuasanya dengan pengurusan sumber Xiaomi HyperCore, kebuk pengewapan baharu IceCool, serta penggunaan RAM dan storan terpantas untuk sesebuah telefon pintar.
Harga Xiaomi 15 Ultra di Malaysia
Xiaomi 15 Ultra secara rasminya telah pun dilancarkan secara global dengan pasaran Malaysia mula menerimanya sejak 2 Mac lalu. Berkesinambungan dari Xiaomi 14 Ultra, telefon pintar berfokuskan fotografi terulung Xiaomi ini mempunyai empat kamera yang dibangunkan dengan Leica.
Anda boleh mendapatkan model baharu keluaran Xiaomi ini dengan dua pilihan konfigurasi iaitu:
- Xiaomi 15 Ultra 16GB + 512GB – RM5,199
- Xiaomi 15 Ultra 16GB + 1TB – RM5,699
Terdapat tiga warna pilihan ditawarkan iaitu Black, White dan Silver Chrome di pasaran menerusi laman jualan dalam talian rasmi Xiaomi di Mi.com, Shopee dan Lazada.
Kelebihan dan Kekurangan
Kelebihan
- Kamera telefon pintar antara yang terbaik di pasaran masa kini
- Paparan yang memukau
- Prestasi cemerlang
Kekurangan
- HyperOS agak kurang mesra pengguna walaupun menawarkan pelbagai ciri menarik
- Prestasi bateri agak mengecewakan
Spesifikasi
Ukuran | 161.4 x 75.3 x 9.35mm (model Silver Chrome berukuran 9.48mm) |
Berat | 226g (model Silver Chrome = 229g) |
Paparan | 6.73-inch, 20:9, 3200 x 1440, 1-120Hz LTPO AMOLED |
Pemprosesan | Qualcomm Snapdragon 8 Elite |
RAM | 16GB (LPDDR5X) |
Storan | 512GB, 1TB (UFS 4.0) |
Sistem operasi | Xiaomi HyperOS 2 (Android 15) |
Kamera utama | 50MP 23mm, f/1.63, 1-inci Sony LYT-900 dengan OIS |
Kamera ultra-lebar | 50MP 14mm, f/2.2, Samsung ISOCELL JN5 dengna 115º FoV |
Kamera telefoto | 50MP 70mm, f/1.8, jenis apungan 3x Sony IMX858 dengan OIS dan mod makro 10c |
Kamera telefoto sekunder | 200MP 100mm, f2.6, berperiskop 4.3x Samsung ISOCELL HP9 dengan OIS |
Kamera hadapan | 32MP 21mm OmniVision OV32B dengan 90º FoV |
Bateri | 5,410mAh |
Pengecasan | Berwayar 90W, nirwayar 80W |
Warna | Black, white, dan Silver Chrome |
Rekabentuk
Selepas pengurangan saiz paparan semenjak Xiaomi Mi 11 Ultra, model-model generasi berikutnya kekal dengan saiz ukuran dan berat yang sama termasuklah 15 Ultra. Dari segi beratnya, model telefon pintar ini dikirakan sebagai antara telefon pintar mercu yang berat.
Estetikanya yang mempunyai kerangka sisi daripada logam, dan bulatan bonggol kamera besar masih konsisten dengan ciri estetik Xiaomi sejak beberapa generasi kebelakangan ini. Ia kelihatan lebih menonjol berbanding pesaing-pesaingnya yang menampilkan ciri yang lebih bersegi pada bahagian tersebut.
Perubahan kosmetik paling ketara salah satunya adalah pada perkakasan kameranya. Jika tatasusunan di dalam bulatan untuk kamera-kamera kuad-sensor pada 13 Ultra dan 14 Ultra kelihatan lebih simetri, Xiaomi pada kali ini telah mengubah secara drastik bagi memenuhi keperluan kamera telefoto yang disediakan padanya. Kesannya, susunan lensa kamera-kameranya ini kelihatan tidak simetri, namun memberikannya kelebihan dari segi praktikal.
Selain dari pilihan warna hitam atau putih, 15 Ultra juga didatangkan dengan pilihan warna Silver Chrome (seperti unit ulasan yang kami terima ini). Ia kelihatan mengambil ilham dari identiti visual kamera Leica M3 yang ikonik. Dua pertiga daripada permukaan belakang yang diperbuat daripada gentian kaca ‘bergred aero-angkasa’, Xiaomi 15 Ultra pilihan warna ini juga mempunyai kemasan faux-kulit berwarna hitam. Kemasan ini mempunyai fungsi praktikalnya untuk menguatkan pegangan tangan dengan meningkatkan daya geseran.
Sama seperti model sebelumnya, 15 Ultra mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP68. Walaupun masih bagus, ia kelihatan ketinggalan jika dibandingkan dengan pengeluar lain melalui model-model seperti Oppo Find X8 Pro, Magic 7 Pro dan OnePlus 13.
Paparannya pula dilindungi oleh Xiaomi Shield Glass 2.0 yang didakwa 10x lebih lasak tahan jatuhan dari Gorilla Glass Victus yang digunakan pada 13 Ultra sebelum ini. Secara teorinya, setakat jatuh je, ‘All Round Liquid Display’ mampu melindungi skrin 15 Ultra dari kerosakan.
Pun begitu, penggunaan kaca Corning masih lagi terdapat pada telefon pintar ini. Ia digunakan pada bahagian bulatan bonggol kamera di belakangnya melalui Gorilla Glass 7i. Ia mempunyai ciri tahan calar yang setanding dengan kaca Victus 2 bagi memastikan kejelasan pengimejan kamera-kameranya.
Paparan dan Audio
Penambahbaikan paling ketara untuk paparan 15 Ultra ini adalah pada kecerahan puncaknya yang menxapai 3,200 nits. Ia masih lagi menawarkan pengalaman tontonan yang cemerlang sebagaimana 14 Ultra dengan visual Full HD+ dan kadar penyegaran semula dinamik 1 hingga 120Hz. Anda boleh dengan bebeas memanfaatkan ketumpatan piksel 522ppi padanya dengan menaikkan ke resolusi tertinggi, atau dengan menetapkan kadar penyegaran semula pada 60Hz untuk penjimatan tenaga, dan menaikkannya ke 120Hz untuk paparan lebih lancar. Selain itu, kadar penyegaran semula lebih tinggi juga boleh dipertingkatkan mengikut aplikasi.
Bersama-sama pilihan menaikkan resolusi dan HDR, serta melicinkan pergerakan imej yang dipaparkan dan perlindungan mata melalui persijilan TÜV Rheinland, paparan 15 Ultra juga beralih ke sensor pengimbas cap jari ultrasonik. Ia terbukti lebih pantas dan lebih berkesan berbanding pendekatan berasaskan optikal sebelum ini.
Sungguhpun sepasang pembesar suara stereo pada 15 Ultra ini tidak selari kedudukannya, output bunyi yang dihasilkannya jelas untuk didengarkan. Pada volum paling tinggi, kejelasan untuk frekuensi tinggi agak tidak stabil. Namun untuk bass, ia masih lagi dapat didengari. Sistem bunyi telefon pintar ini juga menyokong Dolby Atmos dengan turut menyediakan set equalizer, serta audio spatial.
Perisian
Tahun lalu menandakan perubahan ketara terhadap pengalaman mudah alih Xiaomi. MIUI ditamatkan dan digantikan dengan HyperOS yang secara luarannya kelihatan sama, namun penambahbaikan lebih jelas di sebalik tabirnya seperti penggunaan ruangan yang lebih kecil. Ia juga berperanan sebagai persediaan untuk memperkenalkan ciri-ciri berfokuskan AI pada telefon pintar Xiaomi.
Kini dengan siri Xiaomi 15 yang hadir dengan HyperOS 2.0 yang berasaskan Android 15, antaramuka ini hadir dengan visual yang lebih menarik. Artistic Lock Screens pula kini boleh menyokong video bersama-sama animasi baharu yang lebih halus bagi meningkatkan pengalaman kepenggunaannya.
Bagaimanapun, Xiaomi masih lagi seperti ‘menyorokkan’ beberapa ciri kawalan Android seperti Extra Dim yang setakat ini tidak dapat dipastikan sebab mengapa ia dilakukan.
HyperOS juga amat mudah diubahsuai dengan pengendaliannya memerlukan sedikit masa bagi pengguna-pengguna baharu, terutamanya yang masih kekok dengan Android.
Terdapat sejumlah alatan AI baharu yang dipertingkatkan merangkumi penulisan, suntingan imej dan bahasa di dalam HyperOS 2.0. Alatan AI Writing diperkemaskan dengan rumusan artikel, semakan bacaan, perlanjutan dan pengubasuaian tona suara. Sama seperti Samsung Writing Assist, anda boleh menggunakan alatan ini di mana-mana sahaja yang boleh anda masukkan teks.
Aplikasi terjemahan, AI Subtitle mempunyai antaramuka yang mesra pengguna membolehkan ia digunakan dengan cara kedua-dua penutur berada pada arah bertentangan antara satu sama lain dengan telefon diletakkan di tengah-tengah.
Selain menawarkan fungsi suntingan imej berasaskan AI sedia ada seperti Expand, Erase dan Sky, Xiaomi 15 Ultra juga menawarkan pilihan suntingan Enhance dan Remove Reflections. Ciri-ciri ini kebanyakannya bergantung pada sambungan internet yang aktif kecuali ciri asas Erase, Remove Reflections dan Sky yang boleh berfungsi secara luar talian.
Untuk sokongan kemaskini pula, Xiaomi menawarkan kemaskini keselamatan untuk 15 Ultra selama enam tahun. Walaubagaimanapun, kemaskini OS pula hanya empat tahun sahaja dan hal ini dirasakan sedikit ralat memandangkan kebanyakan model-model mercu lain mula menawarkan sokongan kemaskini tersebut untuk tempoh yang lebih panjang.
Kamera
Xiaomi 15 Ultra masih lagi menggunakan sensor utama 1-inci Sony dan seperti yang dijangka, mampu menghasilkan imej yang terbaik setanding dengan kamera telefon pintar mercu yang lain. Ia lengkap dengan pemetaan tona dan pemprosesan HDR, peningkatan perincian dan pencerahan wajah. Namun, pengurusan imej oleh telefon pintar ini lebih menjuruskan kepada keaslian.
Melalui sensor utama 1-inci yang ada padanya, ia dapat membantu mengambil foto yang memukau dengan lebih mudah. Imej yang dihasilkannya jelas dengan kontras dan bayang-bayang yang tampak menakjubkan terutama apabila digabungkan dengan kesan berkedalaman (depth effect) yang semula jadi.
Kawalan manual di dalam mod Pro serta penuran Leica terbina dalamnya pula memberikan anda lebih banyak pilihan untuk bereksperimen dengan gaya fotografi anda tanpa perlu proses suntingan selepas tangkapan.
Sebab mengapa sistem kamera ini 15 Ultra kelihatan berbeza dari segi fizikal berbanding model sebelumnya adalah kerana memerlukan ruang untuk menempatkan sensor telefoto besar 1/1.4-inci yang baharu. Ia merupakan sensor 200MP Samsung ISOCELL HP9 yang turut digunakan pada telefon pintar mercu baharu Vivo X200 Pro.
Kehadiran sensor ini menjadikan fotografi yang bersamaan jarak fokal 100mm pada 15 Ultra lebih versatil. Namun, sistem kamera model ini tidak mempunyai apertur mekanikal sebagaimana yang terdapat pada model sebelumnya disebabkan kekurangan ruang.
Selain penuras, penglibatan Leica bersama-sama Xiaomi turut melibatkan profil tangkapan gambar iaitu Leica Vibrant dan Leica Authentic. Secara lalai, profil yang digunakan adalah Leica Vibrant yang kelihatan lebih terang warnanya. Manakala Leica Authentic pula ia kelihatan sedikit pudar.
Berikut contoh gambar-gambar yang diambil menggunakan Xiaomi 15 Ultra:
Dari segi videografi pula 15 Ultra menawarkan rakaman 4K pada 30 fps, dengan pilihan untuk 4K pada 120fps dan juga sehingga 8K pada 30fps. Apa yang menarik, telefon pintar Xiaomi baharu ini juga menyokong rakaman video berformat Log bersama-sama Dolby Vision. Menjadikan ia pilihan yang menarik buat para videografer serius.
Prestasi
Sebagaimana kebanyakan telefon-telefon pintar mercu Android keluaran 2025, Xiaomi 15 Ultra turut menggunakan pemprosesan terkini Qualcomm Snapdragon 8 Elite. Bersama-sama dengannya, turut disediakan RAM sebanyak 16GB dan pilihan storan UFS 4.1 berkapasiti 512GB atau 1TB.
Menurut Xiaomi, pemprosesan ini membawakan prestasi berbilang teras CPU 45% lebih baik berbanding 14 Ultra. Ini sekaligus membolehkan telefon pintar ini melaksanakan fungsi-fungsi berkeperluan tinggi seperti permainan mudah alih dan suntingan video dengan amat lancar.
Kebuk pengewapan dwi-saluran ‘IceLoop’ baharu menawarkan penyejukan yang dipertingkatkan untuk menyokong pelepasan haba yang lebih baik. Ia amat berguna apabila memainkan permainan-permainan yang berkeperluan grafik tinggi seperti Genshin Impact, Fortnite, COD Mobile, Zenless Zone Zero dan sebagainya.
Melalui teknologi Xiaomi HyperCore baharu membolehkan telefon pintar ini menguruskan peruntukan sumber yang lebih baik supaya pengendalian aplikas-aplikasi di dalam 15 Ultra dapat dilaksanakan dengan tuntas.
Bateri
Bagi pasaran Malaysia, Xiaomi 15 Ultra hadir dengan bateri berkapasiti 5,410mAh sama seperti pasaran-pasaran lain selain dari China. Ia menggunakan teknologi Xiaomi Si-C Surge Battery yang menawarkan peningkatan kapasiti tanpa perlu menjadikan rekabentuk telefon pintar menjadi lebih besar.
Sesuatu yang wajar dipertimbangkan oleh Apple untuk menambahbaik rekabentuk perantinya yang akan datang.
Sokongan pengecasan pantas 90W turut disediakan untuk telefon pintar ini bersama-sama sokongan pengecasan nirwayar 80W. Cuma, Xiaomi semenjak dua-menjak tidak lagi menyediakan palam pengecas di dalam kotak pembungkusannya dan 15 Ultra turut tidak terkecuali walaupun kotaknya tinggi.
Kesimpulan
Dari segi nilainya, Xiaomi 15 Ultra boleh dianggap sebagai antara yang paling mahal di pasaran sesuai dengan taraf mercunya. Pun begitu, beberapa kelebihan unik yang ditawarkannya melebihi daripada apa yang ditawarkan oleh pesaing-pesaingnya yang lain.
Rekabentuknya besar dan dikirakan sebagai berat walaupun ia premium dan tahan lasak. Mungkin untuk sesetengah pengguna berpandangan ia sedikit kurang elegan berbanding model sebelumnya. Namun ia masih boleh dimaafkan dengan mengambil kira praktikaliti pada kamera-kameranya.
Sensor besar yang digunakan untuk kamera utamanya memberikan kepuasan dan kualiti yang setimpal buat anda yang mencintai bidang fotografi. Tambahan pula hasil kerjasamanya dengan Leica telah membuahkan mutu yang tinggi terutamanya bagi fotografi jalanan.