Dari khabar angin hingga ke pendedahan secara tidak sengaja, kini Samsung secara rasminya telah mengumumkan akan menganjurkan acara Galaxy Unpacked pertama tahun 2023 pada 1 Februari 2023 ini. Dijangkakan, acara tersebut akan memberikan tumpuan terhadap penawaran siri Galaxy S generasi berikutnya.
Dijadualkan berlangsung di San Francisco, Samsung menyatakan ini merupakan acara Unpacked pertama secara bersemuka dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Sungguhpun Samsung masih terus melancarkan siri Galaxy baharu sepanjang tempoh pandemik ini, acara Unpacked diadakan secara maya sepenuhnya di dalam tempoh tersebut.
Sebelum pengumuman ini, tarikh berkenaan pernah diperkatakan oleh pentiris maklumat Samsung tegar, Ice Universe di Twitter pada Disember tahun lalu. Tarikh acara tersebut juga secara tidak sengaja telah disahkan oleh Samsung Colombia pada hujung minggu baru-baru ini.
Walaupun grafik dari pengumuman yang dibuat pada hari ini tidak sama seperti yang kita lihat di dalam laman web Samsung Colombia baru-baru ini, beberapa petunjuk masih lagi memberikan gambaran mengenai tri-kamera untuk peranti yang dilancarkan ini.
Steve Hemmerstoffer yang lebih dikenali sebagai OnLeaks juga sebelum ini pernah berkongsikan pandangan awal Galaxy S23, Galaxy S23 Plus dan Galaxy S23 Ultra yang ketiga-tiganya mempunyai rekaan kamera yang sama.
Dalam pada masa yang sama, Samsung Malaysia juga memberikan baucar RM200 secara percuma untuk anda yang mendaftar minat untuk Galaxy Unpacked pada Februari ini. Baucar ini boleh digunakan untuk membuat pra-tempahan Galaxy S yang akan datang ini.
Samsung juga akan mengadakan penstriman acara pelancaran ini secara langsung menerusi laman web rasmi Samsung Malaysia, Youtube dan Samsung Malaysia Newsroom pada 2 Februari 2023, jam 2.00 pagi waktu Malaysia.