Samsung secara rasminya telah mengumumkan akan mengadakan acara Unpacked berikutnya untuk tahun ini pada 10 Julai 2024. Desas-desus mengenai lokasi acara tersebut kini ternyata benar.
Dalam pada masa yang sama, Samsung juga menyatakan telefon pintar boleh lipat Galaxy Z generasi berikutnya akan menjadi tumpuan di dalam acara pelancaran tersebut. Telefon pintar baharu tersebut juga dimaklumkan akan mempunyai kuasa Galaxy AI.
Pengumuman rasmi tersebut bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas model-model Galaxy Z dan juga peranti yang akan diperkenalkannya kelak. Berdasarkan khabar-khabar angin dan juga maklumat-maklumat yang tertiris di arena web, dikatakan Galaxy Z Flip 6 dan lebih dari satu varian Galaxy Z Fold 6 akan diperkenalkan.
Turut dijangka akan diperkenalkan bersama, siri Galaxy Watch 7 dan juga Galaxy Ring. Tidak ketinggalan, mungkin siri Galaxy Tab S10 akan diperkenalkan bersama-sama di dalam acara tersebut. Apa yang pasti, ciri-ciri Galaxy AI baharu dijangka akan diketengahkan di dalam acara tersebut.
Acara Galaxy Unpacked 2024 akan ditayangkan secara langsung menerusi laman web rasmi Samsung Malaysia, serta saluran-saluran rasminya di Facebook, Instagram, Newsroom, dan Saluran YouTube pada jam 9 malam waktu tempatan, 10 Julai ini.
Anda yang ingin turut serta boleh mendaftar minat di dalam laman web rasminya bermula dari sekarang sehingga 9 Julai untuk berpeluang mendapatkan e-baucar bernilai sehingga RM500 untuk pra-tempahan produk-produk Galaxy baharu dan juga memenangi hadiah misteri harian bernilai sehingga RM27,000.