Samsung baru-baru ini telah memaklumkan pihaknya akan menyediakan sokongan WiFi pada hampir kesemua perkakasan elektrik rumah keluarannya pada hujung 2023. Pengumuman yang dibuat menerusi acara IFA 2022 tersebut turut menyatakan perkakasan-perkakasan tersebut merangkumi mesin basuh, peti sejuk, ketuhar, penghawa dingin, robot vakum, dan sebagainya.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah ke arah kelestarian alam dan penjimatan tenaga melalui elemen kawalan jarak jauh pengguna. Oleh yang demikian, Samsung kelak tidak sekadar mengeluarkan perkakasan elektrik biasa sahaja dan lebih ke arah penghasilan perkakasan elektrik pintar.
Menerusi SmartThings, Samsung akan meningkatkan ketersambungan antara produk-produknya disamping turut membolehkan pengguna menikmati pengalaman baharu dengan kehidupan yang lebih lestari dan menikmati hiburan yang lebih baik.