Samsugn dijadualkan untuk memperkenalkan peranti Galaxy baharu pada 21 Oktober ini dengan nama rasmi produk tersebut masih lagi belum diketahui. Terdapat ura-ura yang mengatakan ia adalah Galaxy Z Fold 6 Special Edition berdasarkan video acah untuk pengumuman tersebut oleh Samsung baru-baru ini.
Peranti tersebut dikatakan mempunyai ketebalan 4.9mm apabila dibuka lipatannya dan setebal 10.6mm sahaja apabila dilipat. Ia juga dikatakan akan menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3, kamera utama 200MP, dan penarafan kerintangan air dan debu IP48. Skrin luaran peranti tersebut juga dijangka berukuran pepenjuru 6.5-inci dengan skrin utama boleh lipatnya berukuran 8-inci.
Telefon pintar berkenaan juga dijangka kelihatan seperti Galaxy Z Fold 6. Cuma dibezakan dengan bingkai yang lebih rata dan bucu yang lebih membulat. Ruangan kameranya juga sedikit tebal dan kemasan warna pada bahagian belakangnya kelihatan seperti logam.
Nama rasminya pula masih lagi belum dapat dipastikan sama ada Galaxy Z Fold 6 Special Edition atau ada nama lain. Menjelang tarikh pelancarannya yang kian hampir, ia mungkin akan diketahui tidak lama lagi.