Samsung Galaxy Tab S10 FE dan S10 FE Plus sebelum ini telah disahkan akan memasuki pasaran Malaysia dan hari ini secara rasminya siri tablet Samsung baharu ini akan dilancarkan pada 8 Mei ini. Kedua-duanya akan hadir dengan model Wi-Fi dan 5G, namun untuk ia hanya mempunyai satu konfigurasi memori dan storan sahaja.

Untuk Galaxy Tab S10 FE, ia mempunyai paparan LCD 10.9-inci, manakala model S10 FE Plus pula mempunyai paparan bersaiz 13.1-inci. Kedua-duanya mempunyai kadar penyegaran skrin 90Hz dan kecerahan puncak 800 nits, serta pemprosesan Exynos 1580. Baterinya yang menyokong pengecasan 45W, mempunyai kapasiti 8,000mAh untuk S10 FE, dan 10,900mAh untuk model S10 FE Plus.

Kedua-duanya juga mempunyai pengimbas cap jari yang terbina di dalam butang kuasanya. Keseluruhan badan tablet-tablet baharu keluaran Samsung ini mempunyai kerintangan debu dan air IP68 bagi meningkatkan daya ketahanannya. Menurut Samsung, siri Galaxy Tab S10 FE ini menampilkan ciri-ciri kecerdasan buatan menerusi Awesome Intelligence.

Samsung Galaxy Tab S10 FE dan S10 FE Plus akan menemui pengguna-pengguna di Malaysia bermula 8 Mei ini dengan hanya menawarkan konfigurasi memori dan storan 12GB + 256GB. Model Wi-Fi Galaxy Tab S10 FE berharga RM2,199, manakala untuk model 5G pula berharga RM2,699. Seterusnya model Wi-Fi sahaja dan Wi-Fi + 5G bagi Galaxy Tab S10 FE Plus pula harganya masing-masing RM2,799 dan RM3,299.

E-Baucar Reservation+ masih sah diperakukan sehingga 7 Mei ini, dan jika anda membuat pembelian di antara 8 Mei sehingga 15 Jun, anda berpeluang untuk mendapatkan papan kekunci Book Cover Tab S10 FE dan Tab S10 FE Plus secara percuma.

Tinggalkan komentar