Siri Samsung FE untuk tablet kini kembali lagi selepas dua tahun dengan memperkenalkan Galaxy Tab S10 FE. Model asas siri ini mempunyai rekabentuk luaran yang hampir sama dengan siri terdahulu, namun lebih ringan dan khusus untuk model Plus, ia kini lebih besar saiz paparannya.
Galaxy Tab S10 FE dan S10 FE+ masing-masing menampilkan paparan LCD 10.9-inci dan 13.1-inci dengan kadar penyegaran semula 90Hz dan kecerahan puncak global 800 nits. Di dalamnya pula ia dilengkapkan dengan cip pemprosesan Exynos 1580, jenis yang sama digunakan pada Galaxy A56 5G.
Kedua-dua tablet Samsung baharu ini mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP68, serta butang kuasa yang boleh digunakan sebagai pengimbas cap jari.
Sensor kamera 13MP pada bahagian belakang kedua-dua tablet ini juga telah dinaik taraf bersama-sama kamera hadapannya 12MP. Cuma lensa ultra-lebar tambahan seperti yang terdapat pada model FE+ sebelum ini tidak tersedia untuk siri kali ini.
Dalam pada masa yang sama, kapasiti bateri untuk tablet-tablet ini masih lagi kekal dengan Tab S10 FE dan Tab S10 FE+ masing-masing mempunyai bateri berkapasiti 8,000mAh dan 10,000mAh. Kadar pengecasan untuk kedua-dua tablet ini pula menyokong 45W.
Harga Galaxy Tab S10 FE bermula dari EUR580 (~RM2,829) untuk varian Wi-Fi sahaja. Manakala untuk FE+ pula harganya bermula dari EUR750 (~RM3,658). Buat masa ini tiada maklumat bilakah kedua-dua model tablet baharu Samsung ini akan memasuki pasaran Malaysia.