Samsung Galaxy Ring kini secara rasminya dilancarkan di Malaysia, setahun selepas ia diperkenalkan secara global. Direka sebagai penjejak kesihatan untuk dipakai pada jari, aksesori ini berukuran 2.6mm tebal dan mempunyai berat di antara 2.3g dan 3.3g bergantung pada saiz.
Sungguhpun kecil, Galaxy Ring berkuasa AI ini dilengkapkan dengan accelerometer, sensor kadar nadi optikal yang mengukur tahap oksigen dalam darah, dan sensor suhu kulit.
Galaxy Ring juga menjejak aktiviti-aktiviti asas seperti berjalan, berlari dan juga waktu tidur. Tidak seperti jam tangan pintar yang memerlukan pengguna kadangkala menanggalkannya untuk dicaskan, Galaxy Ring yang amat ringan ini memudahkan pengguna memantau tidur dengan lebih berkesan.
Ia bersambungan dengan aplikasi Samsung Health yang menawarkan latihan tidur, analisis, dan tips-tips untuk menambahbaik kualiti tidur. Pengesanan dengkur turut disediakan, namun ia perlu berdekatan dengan telefon yang sedang dicaskan.
Selain penjejakan kesihatan, Galaxy Ring juga menyokong kawalan gestur, membolehkan pengguna mengetik dua kali dengan jari telunjuk atau tengah dan ibu jari untuk mengawal kamera atau mematikan penggera pada telefon.
Kapasiti baterinya pula di antara 18mAh dan 23.5mAh mengikut saiz dan menawarkan penggunaan sehingga tujuh hari, atau sekurang-kurangnya empat hari untuk bersaiz kecil. Bekas pengecas lutsinar yang didatangkan bersama mempunyai bateri berkapasiti 361mAh mengambil masa sekitar 30 minit untuk mencapai paras kapasiti 40% dan 90 minit untuk dicaskan sehingga penuh.
Galaxy Ring juga mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP68 dan tahan tekanan sehingga 10 ATM. Ia boleh digunakan secara bersama dengan telefon pintar Android, namun memberikan hasil yang terbaik apabila digunakan bersama-sama telefon pintar Samsung.
Setiap cincin ini juga boleh dibuat pesanan mengikut pilihan jari telunjuk atau jari tengah pengguna dengan orientasi yang betul diperlukan untuk bacaan kadar nadi lebih jitu. Galaxy Ring berharga RM2,099 dan didatangkan dengan 10 saiz (antara 5 hingga 14) serta tiga warna pilihan yang terdiri daripada Titanium Black, Titanium Silver, dan Titanium Gold.
Cara mendapatkan Samsung Galaxy Ring
Anda yang memiliki siri telefon pintar Galaxy S dan Galaxy Z terpilih boleh mendapatkan Galaxy Ring secara eksklusif, bermula dari 9 sehingga 30 April 2025. Caranya adalah dengan mendapatkan kod jemputan menerusi aplikasi Samsung Members. Peranti yang layak merangkumi siri Galaxy S25 hingga S20, model-model Galaxy S FE, dan siri Galaxy Z Flip dan Z Fold bermula dari Flip 3 dan Flip 4 dan ke atas.
Bagi yang berminat dan mempunyai telefon pintar yang layak boleh mengunjungi Samsung Experience Store untuk mendapatkan saiz dan warna yang sesuai sebelum melengkapkan pesanan secara dalam talian menerusi aplikasi. Setiap Galaxy Ring mengambil masa sekitar enam minggu untuk disiapkan dan dihantar.
Dalam pada masa yang sama, Samsung Malaysia dan Sunway Medical Centre sedang menawarkan pakej Galaxy Health Screening sehingga 30 Jun 2025. 100 pembeli terawal pakej-pakej yang terpilih berpeluang menikmati diskaun 50% dan menerima Galaxy Ring atau Galaxy Fit 3 percuma.