Samsung Galaxy S20 FE LTE

Samsung Galaxy S20 FE versi LTE dengan cipset Snapdragon 865 kini di Malaysia. Melalui nombor model G780, telefon mercu pilihan bajet ini menggunakan cipset Snapdragon 865. Sebelum ini, anda perlu memilih sama ada bercipset Snapdragon 865 dengan 5G atau Exynos 990 dengan LTE sahaja.

Buat masa ini, Galaxy S20 FE LTE dengan Snapdragon 865 dijual pada harga RM2,299 dengan RAM 8GB dan storan 128GB. Harga ini adalah sama dengan versi Exynos 990 selepas pengurangan harganya baru-baru ini.

Bagi yang berminat, anda boleh mendapatkannya di Shopee dengan tiga pilihan warna iaitu Biru, Jingga dan Lembayung (violet).

Galaxy S20 menampilkan paparan Super AMOLED HD+ Penuh 6.5″ dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Seperti yang dinyatakan tadi, telefon versi ini menggunakan cipset Snapdragon 865 dengan RAM 8GB dan storan 128GB yang boleh diperbesarkan dengan melalui kad mikroSD.

Untuk fotografi, telefon ini menyediakan tetapan tri-kamera untuk kamera dibelakangnya yang mengandungi lensa utama 12MP, lensa ultra-lebar 12MP dan lensa telefoto 8MP berkeupayaan zum optikal 3X. Kedua-dua lensa utama dan telefoto menyediakan sokongan penstabil imej optikal (PIS). Untuk kamera swafoto, sebuah lensa 32MP turut disediakan di sebelah hadapannya.

Telefon pintar ini dikuasakan oleh bateri 4,500mAh dan sokongan pengecasan pantas 25W melalui port USB-C. Cumanya, hanya kepala pengecas adaptif pantas 15W disediakan bagi pembelian Galaxy S20 FE LTE ini.

Seperti telefon pintar mercu Samsung yang lain, Galaxy S20 FE LTE turut menyediakan pembesar suara stereo, pengimbas cap jari terbina dalam skrin, kerintangan debu dan air IP68 dan pengecasan nirwayar.

Anda yang berminat dengan Galaxy S20 FE dengan 5G dan storan 256GB, Samsung turut memberikan potongan harga bagi model berkenaan dari RM3,399 ke RM2,999.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.