Samsung melancarkan telefon pintar baru yang boleh lipat yang dinamakan sebagai Samsung Galaxy Folder. Buat masa ini, telefon pintar ini hanya terhad dipasarkan di Korea Selatan sahaja. Rekabentuk telefon pintar ini kelihatan seperti rekaan telefon bimbit tahun 2005, ketika telefon bimbit Motorola Moto Razr dan Nokia Sabun menguasai pasaran.
Telefon pintar ini hadir dengan pad kekunci fizikal dan paparan skrin sesentuh yang mana pengguna boleh menggunakan mana-mana input mengikut kesesuaian.
Pad kekunci fizikal Samsung Galaxy Folder menampilkan tiga butang yang biasa ada pada telefon pintar Android pada sebelah atasnya selain dari butang khas untuk kamera dan butang-butang lain untuk aplikasi perkhidmatan rangkaian sosial (sosial network services, SNS). Terdapat kamera 2 megapiksel pada bahagian hadapannya untuk anda berselfie dan juga kamera 8 megapiksel untuk anda menangkap gambar bukan selfie.
Pada paparan 3.8 inci WVGA, telefon pintar ini didatangkan dengan pemprosesan empat teras 1.2 GHz dan storan dalaman 8 GB dengan tambahan ruang melalui slot SD mikro sehingga 64 GB. Dari sudut sambungan data pula, telefon pintar ini menyokong sambungan 4G LTE. Sistem operasi yang digunakan pada telefon pintar ini adalah Android 5.0 Lollipop.
Samsung Galaxy Folder dijangka hadir ke pasaran Korea Selatan pada harga yang ditetapkan ₩ 297,000 atau bersamaan lebih kurang RM977. Selain dari Samsung, LG juga baru-baru ini turut menampilkan LG Gentle, sejenis telefon pintar dengan reka bentuk boleh lipat.
Tidak dapat dipastikan adakah telefon pintar Samsung Galaxy Folder ini akan hadir ke pasaran Malaysia atau tidak. Jika ada, mungkin ia mendapat sambutan dari golongan-golongan yang ingin bernostalgia dengan zaman telefon bimbit tanpa skrin sesentuh seperti awal 2000-an dulu.
-Sumber berita diperoleh dari Samsung Tomorrow