Utama Aksesori Earbuds Pandang Pertama Samsung Galaxy Buds 3 Pro

Pandang Pertama Samsung Galaxy Buds 3 Pro

243
0

Samsung nampaknya telah mengubah sepenuhnya reka bentuk earbuds nirwayar keluarannya dengan menampilkan rekaan yang lebih mirip dengan Apple AirPods. Tiada lagi rekaan berbentuk bulat dan ia digantikan rekabentuk bertangkai untuk Galaxy Buds 3 Pro kali ini.

Bergantung pada pandangan masing-masing, ada yang menerima dengan baik dan ada yang mungkin kurang menerimanya. Namun begitu, hal ini bukanlah sesuatu yang besar kerana apa yang lebih utama adalah pada kualiti audio yang dibawakan dan juga ciri-ciri tambahan yang diperkenalkannya.

Boleh didapati pada harga RM999 di Malaysia, Galaxy Buds 3 Pro mengutamakan pada kualiti mikrofon, kawalan dan laras beradaptif dijana kecerdasan buatan (AI). Manakala Galaxy Buds 3 yang berharga RM599 pula menawarkan rekabentuk yang hampir sama, cuma dibezakan pada putik yang berbentuk open-fit. Kedua-dua model ini juga ditawarkan dengan pilihan warna Silver dan White. Anda boleh mendapatkan siri Galaxy Buds 3 baharu ini menerusi laman web rasmi Samsung Malaysia.

Buds 3 Pro boleh melaraskan main semula muzik melalui arahan suara dan boleh memainkan perbualan yang diterjemahkan melalui alatan Interpreter yang baharu. Mikrofonnya juga boleh meningkatkan pengalaman mendengar dengan ciri Adaptive EQ,  Adaptive ANC (active noise cancellation), Adaptive Noise Control, Siren Detect, dan Voice Detect.

Sokongan Galaxy AI pada Buds 3 Pro

Platform Galaxy AI bukan hanya terhad pada telefon-telefon pintar Samsung serta Galaxy Watch 7 dan Galaxy Watch 7 Ultra semata-mata. Ia turut diperluaskan pada Galaxy Buds 3 Pro dan juga Buds 3. Mikrofon pada earbuds nirwayar ini boleh memberikan suapan ciri Interpreter apabila dipadankan dengan Galaxy Z Fold 6 atau dengan Galaxy Z Flip 6. Ia membolehkan anda mendengar terjemahan secara terus menerusinya.

Kualiti bunyi pada Galaxy Buds 3 Pro juga dioptimasikan secara pintar dengan mikrofonnya menganalisa bunyi dari dalam dan luar untuk melaraskan EQ dan ANC dalam masa nyata (real-time). ANC pada earbuds nirwayar ini juga boleh melaraskan tahap volum mengikut bunyi persekitaran. Ciri Siren Detect dan Voice Detect pula boleh mematikan seketika ANC apabila terdapat bunyi-bunyi persekitaran yang mungkin perlu anda dengari.

Ada dua sebab Samsung dilihat mengubah kepada rekabentuk bertangkai ini dengan ciri-ciri berasaskan mikrofonnya merupakan salah satu sebab utama. Satu lagi sebab adalah untuk ciri kawalan yang lebih bersifat intuitif. Melalui ciri kawalan baharu ini, anda boleh mengawal main semula media atau mengubah antara mod-mod pendengaran dengan memicit pada tangkainya. Pada bahagian ini juga mempunyai lampu petunjuk yang memberikannya lebih estetika futuristik.

Anda boleh mendapatkan 6 jam waktu mendengar dengan ANC pada Galaxy Buds 3 Pro dan boleh pergi sehingga 26 jam apabila digunakan bersama-sama bekas pengecasnya.

Rumusan awal

Kata orang dulu-dulu, mulut tempayan boleh ditutup, mulut orang bagaimana pula hendak menutupnya. Memandangkan rekabentuk Galaxy Buds 3 Pro kali ini kelihatan seperti AirPod, ia tidak dapat lari daripada perbandingan tersebut. Lagipun, tidak salah untuk mengadaptasi rekabentuk yang sudah menjadi kelaziman kerana ia mempunyai kelebihan praktikalnya sendiri.

Pastinya, ciri-ciri istimewa yang dibawakan oleh Samsung akan menjadi faktor penentu kelebihan tersendiri Galaxy Buds 3 Pro dengan earbuds nirwayar lain yang di pasaran pada ketika ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.