Samsung dilaporkan telah memutuskan untuk tidak menyertakan kabel USB dan pengecas bersama-sama kotak jualan telefon pintar Galaxy dalam masa yang terdekat ini.
Menurut sumber dari Korea Selatan, gergasi teknologi ini sedang memperluaskan inisiatif Galaxy for the Planet bagi mewujudkan alam yang lebih lestari melalui pengurangan penggunaan plastik menjelang 2025. Inisiatif ini juga bagi mengurangkan penggunaan tenaga dari pengecas dan lebihan sisa dari seluruh perniagaannnya di serata dunia.
Lanjutan dari itu, Samsung tidak lama lagi dilaporkan akan membuang kabel USB dan pengecasnya dari kotak pembelian telefon Galaxy. Usaha tidak menyertakan pengecas ini telah pun dimulakan sejak dari siri Galaxy S21 pada tahun lepas. Menurut Samsung, pengurangan kos pengeluaran dari ketiadaan pengecas dan kabel USB ini akan turun ke peringkat pengguna.
Samsung bukanlah syarikat pertama yang tidak menyertakan pengecas dan kabel dari pakej telefon pintarnya. Pengeluar iPhone, Apple pertama kali melakukannya pada 2020 melalui siri iPhone 12. Tindakan tersebut dikatakan bagi tujuan kelestarian alam sekitar, namun telah menerima reaksi yang bercampur baur dari kalangan pengguna dengan ada yang menerima dan sebahagian lagi menolak.