Utama Mobile Aplikasi Anda kini boleh sahkan Fakta COVID-19 menerusi WhatsApp

Anda kini boleh sahkan Fakta COVID-19 menerusi WhatsApp

636
0

Populariti aplikasi permesejan WhatsApp turut menjadi antara punca mengapa platform ini sering disalahgunakan untuk perkongsian maklumat-maklumat palsu. Ditambah lagi dengan keadaan wabak pandemik COVID-19, sebaran sebegini boleh menyebabkan kesan panik yang tidak sepatutnya.

Sungguhpun WhatsApp telah melaksanakan beberapa pendekatan bagi mengekang penyebaran berita palsu, kaedah-kaedah baru turut diperkenalkan dari masa ke semasa. Terbaru, terdapat fungsi semakan fakta COVID-19 yang kini boleh diakses menerusi WhatsApp.

Fungsi ini hadir dalam bentuk chatbot yang dilancarkan oleh International Fact-Checking Network (IFNC), sebuah unit di bawah Poynter Institute, sekolah kewartanan bukan berasaskan keuntungan berpangkalan di Florida, A.S. Terdahulu, institut berkenaan telah menerima geran berjumlah USD1 juta dari WhatsApp untuk membantu menentang maklumat salah berkaitan COVID-19.

Untuk sumber maklumatnya, chatbot IFCN menggunakan pangkalan data CoronaVirusFacts. Pangkalan data tersebut mengandungi data yang disediakan oleh para penyemak fakta dari 74 buah negara di seluruh dunia. Chatbot ini juga boleh mengesan negara asal pengguna berdasarkan kod negara nombor telefon pengguna. Seterusnya memudahkan penyediaan maklumat berdasarkan organisasi semakan fakta yang terhampir.

Boleh didapati secara percuma, chatbot semakan fakta IFCN COVID-19 boleh diaktifkan dengan menaipkan “hi” ke +1 (727) 2912606. Selain itu, pengguna juga boleh pergi ke pautan ini untuk memulakan semakan fakta COVID-19 dengan chatbot tersebut. Bagaimanapun, chatbot IFCN ini hanya mampu berbicara dengan pengguna dalam Bahasa Inggeris sahaja buat masa ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.