Utama Monitor Ulasan PRISM+ Nomad Pro 16; Monitor mudah alih kegunaan para Perantau Digital

Ulasan PRISM+ Nomad Pro 16; Monitor mudah alih kegunaan para Perantau Digital

334
0
PRISM+ Nomad Pro 16 Review

Perantau digital atau lebih popular dengan terma digital nomads memerlukan peranti yang mudah dibawa ke mana sahaja. Lazimnya laptop dan telefon pintar merupakan pilihan utama untuk mencari sesuap rezeki asalkan ada sambungan rangkaian internet jika berada di luar rumah atau pejabat.

Ada juga sesetengah warga pekerja yang cenderung menggunakan monitor tambahan bagi meningkatkan produktiviti. Namun, agak sukar untuk anda membawakan monitor tambahan jika anda sedang berada di luar rumah.

Memperkenalkan monitor mudah alih PRISM+ Nomad Pro 16, khusus untuk anda yang inginkan monitor tambahan untuk kegunaan di mana sahaja.

Sambungan menggunakan port USB-C atau HDMI mini

Anda boleh menyambungkan monitor ini dengan peranti anda melalui USB-C atau juga melalui HDMI melalui port HDMI-mini yang disediakan padanya.

Laptop model lama juga boleh bersambung terus dengan monitor ini melalui kabel HDMI-to-HDMI Mini yang disediakan bersama-sama monitor ini. Oleh itu, anda tidak perlu mendapatkan adapter khas bagi menyokong penyambungannya.

Dua port USB-C yang disediakan padanya pula membolehkan ia disambungkan dengan telefon pintar atau tablet, selain boleh juga disambungkan dengan laptop yang mempunyai port berkenaan.

Sebahagian peranti Samsung yang menyokong ciri Samsung Dex seperti siri Galaxy Tab S8, Galaxy S22 dan Galaxy S23 juga dapat memanfaatkan kelebihan monitor ini untuk dijadikan sebagai paparan kedua pada peranti berkenaan.

PRISM+ Nomad Pro yang berukuran 15.6-inci ini juga merupakan skrin yang menyokong input sentuhan kapasitatif. Oleh itu, anda juga boleh meningkatkan tahap produktiviti anda dengan input tambahan melalui sentuhan dengan jari atau pena stylus kapasitatif selain dari penggunaan periferal biasa papan kekunci dan tetikus.

Input menggunakan pena stylus seperti S Pen dari Samsung Galaxy Tab, Galaxy S atau Galaxy Note bagaimanapun tidak disokong oleh skrin monitor ini.

Spesifikasi perkakasan

Spesifikasi Nomad Pro 16
Saiz skrin 15.6-inci IPS LCD dengan skrin sesentuh
Resolusi 1920 x 1080 @ 60Hz
Warna gamut 105% sRGB, 16.7 juta warna
Nisbah kontras 1500:1
Kecerahan 420 nits
Pembesar suara Dua pembesar suara 1W
Bateri Sehingga 4 jam
Port 2x USB-C, 1x mini HDMI
Harga RM1,299.00

Dari segi spesifikasi skrinnya, monitor mudah alih dengan sokongan sesentuh ini menyokong resolusi skrin sehingga 1080p. Skrin IPS FHD padanya ini juga memberikan paparan yang terang dan jelas dengan tahap kecerahan 420 nits.

Monitor mudah alih ini juga didatangkan dengan bateri di dalamnya yang mampu bertahan sehingga 4 jam bagi kegunaan paparan secara berterusan. Walaupun tempoh ini tidaklah begitu panjang, namun memadai bagi kegunaan di luar sementara anda mendapatkan lokasi yang mempunyai sambungan bekalan kuasa.

Dalam posisi lanskap, butang kawalan bunyinya ditempatkan pada sisi kanan monitor ini. Manakala butang kuasanya pula ditempatkan pada sisi atas sebelah kanan dalam posisi yang sama.PRISM+ Nomad Pro 16 Review-2

Jika anda ingin melakukan sebarang perubahan tetapan pada PRISM+ Nomad Pro ini, anda boleh menggunakan butang berkenaan untuk mengeluarkan menu paparan atas skrin (on-screen display, OSD). Butang kawalan bunyinya boleh digunakan untuk mengendalikan pilihan tetapan. Ketika menu ini digunakan, fungsi skrin sesentuhnya juga boleh digunakan untuk mengendalikan tetapan pada OSD yang dipaparkan.

Rekabentuk dan Aksesori

Secara keseluruhannya, rekaan PRISM+ Nomad Pro ini kelihatan baik pada pandangan saya. Kedudukan butang fizikal dan juga pembesar suara stereonya juga bersesuaian. Monitor ini walaupun agak sederhana ketebalannya, ia boleh dikira agak berat untuk dijadikan sebagai peranti mudah alih. Faktor bateri yang disertakan bersama-sama di dalamnya juga antara penyumbang kepada beratnya ini.

Bersama-sama kotak pembungkusan monitor mudah alih ini disediakan juga bekas selongsong dan pelapik yang boleh dijadikan sebagai tempat menyandarnya. Anda perlu melipatkannya ke dalam bentuk segi tiga terlebih dahulu.

Sedikit ralat juga melihat mengapa monitor mudah alih ini tidak didatangkan bersama-sama cagak kaki (kickstand) seperti biasa terdapat pada aksesori tablet Samsung Galaxy Tab S8. Penyandar yang dijadikan dari pelapiknya ini agak terlalu menyandar dan anda mungkin perlu meletakkan sesuatu untuk melaraskan sudut dongakannya supaya tidak terlalu condong ke belakang.

Orientasi PRISM+ Nomad Pro ini juga boleh diubah kepada posisi potret dan ini amat memudahkan bagi sesetengah pengguna yang melakukan koding (coding) dengan dua skrin. Bagaimanapun, anda mungkin perlu menggunakan aksesori lain jika ingin menggunakan pada posisi tersebut.

Kesimpulan

PRISM+ Nomad Pro 16 Review-1PRISM+ Nomad Pro 16 merupakan monitor mudah alih berkualiti baik pada harga yang berpatutan sesuai dengan spesifikasi yang ditawarkannya. Ia menawarkan paparan yang jelas, cerah, selain turut menyediakan sokongan skrin sesentuh.

Bateri yang disertakan bersama-sama dan juga aksesori tambahan seperti selongsong pelapik, 2 kabel USB-C, dan 1 kabel HDMI mini to HDMI memudahkan anda membawanya ke mana jua tempat anda yang bekerja secara jarak jauh terutamanya perantau digital (digital nomad).

Anda boleh mendapatkannya menerusi kedai dalam talian PRISM+ Malaysia atau di kedai fizikal PRISM+ di IOI Mall Putrajaya dan Sunway Pyramid pada harga RM1,299.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.