Utama Android Samsung Rekabentuk Galaxy Z Fold 6, Z Flip 6 didedahkan secara tidak sengaja...

Rekabentuk Galaxy Z Fold 6, Z Flip 6 didedahkan secara tidak sengaja oleh Samsung Kazakhstan

340
0
Samsung-Galaxy-Z-Flip-6-Fold-6-Tertiris Kazakhstan

Menjelang kira-kira sebulan lagi pengumuman rasmi Galaxy Z Flip 6 dan Galaxy Z Fold 6, Samsung secara tidak sengaja mendedahkan rekabentuk kedua-dua model telefon pintar boleh lipat tersebut. Pendedahan yang tidak disengajakan ini secara tidak langsung mengesahkan sifat rekabentuk model baharu tersebut yang senada dengan Galaxy S24 Ultra yang lebih petak.

Beberapa pengguna yang tajam pemerhatiannya di laman forum Reddit telah menemukan rekabentuk Galaxy Z Flip 6 dan Galaxy Z Fold 6 apabila pihak syarikat secara tidak sengaja menerbitkan imej pemasarannya pada laman web Samsung Kazakhstan.

Sebagaimana yang dikongsikan di dalam imej tersebut, Galaxy Z Fold 6 mempunyai ciri rekabentuk seperti Galaxy S24 Ultra pada bucu-bucunya. Ia mempunyai bentuk yang lebih petak dan kurang melengkung pada sudut-sudutnya. Imej berkenaan juga menyatakan Galaxy AI yang sememangnya dijangkakan memandangkan siri Galaxy S dan Galaxy Z yang lama sudah pun menerima kemaskini OneUI 6.1.

Tetapan tri-kamera Galaxy Z Fold 6 juga menyamai rekaan yang didedahkan oleh Ice Universe pada minggu lepas. Telefon pintar ini juga dilihat menampilkan rekaan corong pembesar suara berbentuk slot pada sebelah atasnya, sama seperti yang terdapat pada Galaxy S24 Ultra dan Galaxy A55.

Galaxy Z Flip 6 pula kelihatan mempunyai skrin cover yang besar dan dwi-kamera sebagaimana yang dijangkakan. Dilaporkan, telefon pintar ini akan menerima naik taraf pada kamera belakangnya kelak iaitu kamera utama 50MP. Terdapat juga ura-ura telefon pintar ini masih lagi mengekalkan skrin cover OLED 3.4-inci dan skrin dalaman boleh lipat 6.7-inci. Bagaimanapun, untuk baterinya ia dijangka akan hadir dengan kapasitinya yang sedikit besar 4,000mAh.

Kedua-dua Galaxy Z Flip 6 dan Galaxy Z Fold 6 dikatakan akan menampilkan skrin boleh lipat yang amat kurang kesan kedutan lipatannya disamping menggunakan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 3. Ia juga dijangka akan menggunakan antaramuka OneUI 6.1.1 berasaskan Android 14 dengan sokongan perisian dan keselamatan selama tujuh tahun.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.