Xiaomi baru-baru ini telah melancarkan Redmi K30 Ultra di China pada harga bawah RM1,700. Antara yang mencuri tumpuan pada model telefon pintar ini adalah spesifikasinya yang melebihi jangkaan berbanding telefon-telefon lain yang ditawarkan pada julat harga yang hampir sama.
Redmi K30 Ultra menampilkan paparan AMOLED 6.67-inci FHD+ dengan panel 120Hz bersama-sama pensampelan sentuhan 240Hz. Ianya dikuasakan oleh cipset MediaTek Dimensity 1000+.
Dari segi keupayaannya, Dimensity 1000+ tidak setanding dengan Snapdragon 865, namun ianya menyamai keupayaan setanding dengan Snapdragon 855. Dari segi storan, telefon ini menawarkan pilihan storan sehingga 512GB dengan RAM sehingga 8GB.
Pada bahagian belakangnya ditempatkan kamera utama 64MP yang turut disokong oleh lensa bersudut ultra-luas 13MP, lensa makro dan lensa berkedalaman. Pada hadapannya pula ia menempatkan kamera swafoto 20MP dengan mekanisme pacul-naik (pop-up).
Bateri untuk Redmi K30 Ultra berkapasiti 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W. Melengkapkan pakej telefon pintar ini adalah pembesar suara stereo turut disediakan. Bagaimanapun, telefon pintar ini didapati tidak menyediakan sebarang bicu audio 3.5mm yang biasanya digunakan untuk disambungkan ke fon telinga.
Redmi K30 Ultra mula dijual di China 14 Ogos ini dengan harga seperti berikut;
- RAM 6GB / ROM 128GB: CNY 1999 (~RM1216)
- RAM 8GB / ROM 128GB: CNY 2199 (~RM1,321)
- RAM 8GB / ROM 256GB: CNY 2499 (~RM1,510)
- RAM 8GB / ROM 512GB: CNY 2699 (~RM1,636)