Utama Android Realme realme Note 50 akan dilancarkan di Malaysia pada 4 April ini

realme Note 50 akan dilancarkan di Malaysia pada 4 April ini

26
0

realme secara rasminya telah mengumumkan tarikh pelancaran realme Note 50 di Malaysia. Telefon pintar bajet berkenaan akan tiba di pasaran tempatan pada 4 April 2024 dan dijangka akan ditawarkan pada harga mampu milik berdasarkan penawarannya di Filipina.

Diperkenalkan secara rasminya pada Januari lalu, telefon pintar dengan paparan LCD 6.74-inci beresolusi 720p ini mempunyai kadar penyegaran semula skrin 90Hz dengan tahap kecerahan puncak 650 nits. Di dalamnya, ia menggunakan pemprosesan Unisoc T612 dengan RAM 4GB dan storan dalaman 64GB.

Buat masa ini tidak dapat dipastikan apakah konfigurasi pilihan yang akan ditawarkan di Malaysia kelak. Namun, apa yang pasti telefon pintar ini menawarkan slot kad mikroSD untuk tujuan ruangan storan luaran tambahan.

Untuk fotografinya, realme Note 50 menampilkan kamera utama 50MP dengan sensor berkedalaman dan kamera hadapan 5MP. Ia menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 10W. Perisiannya pula hadir dalam bentuk antaramuka realme UI T Edition yang berasaskan Android 13 Go. Selain mempunyai bicu audio 3.5mm, telefon pintar ini juga mempunyai kerintangan air dan debu IP54.

realme juga memberikan jaminan perlindungan kelancaran selama 48-bulan untuk Note 50. Justeru, telefon pintar ini dikatakan mampu menjalankan perisiannya tanpa sebarang masalah dalam tempoh sekurang-kurangnya empat tahun.

Harganya untuk pasaran Malaysia masih lagi belum diketahui. Jika mengambil kira harga di pasaran Filipina PHP3,599 sebagai rujukan, realme Note 50 mungkin berharga kira-kira RM300 di pasaran Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.