Pengeluar peranti dari China kini dilihat sedang bersaing sesama sendiri untuk melancarkan telefon pintar pertama yang menggunakan cipset mercu Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 (SD8G1). Antara pengeluar yang dimaksudkan termasuklah Motorola dan Xiaomi.
Minggu lepas, Realme menyatakan akan melancarkan Realme GT 2 Pro yang dilengkapkan dengan SD8G1 dalam bulan ini juga. Kini, pengeluar berkenaan mengesahkan akan melancarkan secara rasminya Realme GT 2 Pro pada 9 Disember ini.
Tarikh berkenaan juga adalah sama dengan tarikh yang diambil oleh Motorola untuk melancarkan Motorola Edge X30 yang juga menggunakan cipset SD8G1. Telefon berkenaan djiadualkan mula dijual pada 15 Disember ini selepas acara pelancarannya.
Spesifikasi Realme GT 2 Pro (Ura-ura)
Realme GT 2 Pro akan hadir dengan paparan AMOLED FHD+ 6.51-inci 120Hz bersama-sama pengimbas cap jari terbina dalam. Ia juga dijangka hadir dengan antaramuka Realme UI 3.0 berasaskan Android 12. Bersama-sama dengannya juga, sebuah bateri berkapasiti 5,000mAh turut disediakan dengan pengecasan pantas 125W.
Telefon yang dilengkapkan dengan Snapdragon 8 Gen 1 ini akan hadir dengan RAM LPDDR5 12GB dan storan UFS 3.1 256GB. Ia juga dijangka bakal hadir dengan kamera hadapan 32MP.
Kamera belakang Realme GT 2 Pro juga mungkin didatangkan dengan kamera Sony IMX766 50MP OIS, yang turut diiringi dengan kamera 8MP, dan kamera makro 5MP.