Realme baru-baru ini telah memaklumkan bakal melancarkan telefon pintar baharunya ke pasaran Malaysia tidak berapa lama lagi. Telefon pintar yang dimaksudkan adalah Realme C11.
Menurut Realme, C11 merupakan telefon pintar pertama di dunia yang dilengkapkan dengan MediaTek Helio G35. Maklumat mengenai cipset ini turut dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Realme Malaysia.
Desas-desus mengenai penggunaan cipset Helio G35 ini sudah lama diperkatakan, namun tiada sebarang pengumuman rasmi mengenainya dikeluarkan oleh MediaTek sebelum ini.
Setakat ini, apa yang diketahui adalah Realme C11 akan hadir bersama-sama bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan sehingga 10W. Tiada sebarang maklumat mengenai tarikh kemasukan dan harganya bagi pasaran Malaysia diumumkan setakat ini. Cuma, pihak Realme menyatakan pengumuman susulan mengenainya akan hadir kelak.
Kali terakhir siri Realme C dilancarkan di pasaran Malaysia adalah Realme C3 tiga bulan lepas dengan harga RM499. Bagi model terkini C11 ini, agak sukar untuk menelah harganya memandangkan tidak banyak maklumat mengenai spesifikasi perkakasannya didedahkan.