Home Mobile Telco Rangkaian 5G Malaysia dijangka bakal sedia untuk digunakan hujung 2022 atau awal...

Rangkaian 5G Malaysia dijangka bakal sedia untuk digunakan hujung 2022 atau awal 2023

11
0

Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini menyatakan komitmen dalam persiapan negara bagi ‘roll-out’ teknologi 5G pada hujung 2022 atau awal 2023, dengan kesalinghubungan diletakkan sebagai satu daripada keutamaan kerajaan.

Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata perkara itu akan dilaksanakan dengan perancangan dan sasaran tertentu seperti yang dinyatakan dalam Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Beliau berkata ukuran bagi pelaksanaan projek rangkaian 5G ini termasuk ketersediaan dari segi kesalinghubungan, ketersediaan rakyat untuk menerima rangkaian itu, ketersediaan dari segi kawal selia dan ketersediaan industri.

“Dari segi kesalinghubungan, tidak guna kalau kita ada 5G di sesetengah kawasan tetapi di kawasan pedalaman dan luar bandar, 4G pun tidak ada dan sebagainya… ketersediaan supaya dapat mengelakkan jurang digital bentuk baharu.

“Bagi ketersediaan industri, kita jangka 70 peratus penggunaan 5G ini adalah dalam kalangan industri dan 30 peratus dalam kalangan rakyat biasa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Natrah Ismail (PH-Sekijang), yang bertanyakan sama ada rancangan memperluaskan rangkaian 5G akan meletakkan negara pada tahap sifar kawasan capaian internet amat lemah, agar tidak ada rakyat tercicir untuk menikmati kesalinghubungan digital yang mapan, menyeluruh, berkualiti dan mampu milik.

Sementara itu, Saifuddin berkata Projek Demonstrasi 5G menunjukkan kejayaan, sebagai contoh dalam sektor industri minyak dan gas, apabila robot digunakan untuk menggantikan jurutera dibuat secara jarak jauh, serta dapat menyelesaikan dua masalah utama bagi industri minyak dan gas terutama di pelantar iaitu keselamatan pekerja dan meningkatkan kecekapan.

Selain itu, beliau berkata teknologi 5G turut memberi manfaat ketara dalam sektor pelancongan, mengambil contoh pelancong dari dalam dan luar negara berpeluang merasai pengalaman baharu menggunakan teknologi realiti maya, yang menyediakan pemandangan 360 darjah di lokasi-lokasi tarikan pelancong, melalui penstriman langsung video HD ke lensa VR atau panel LCD 360 darjah.

“Berdasarkan maklum balas positif yang saya sebut tadi dua contoh spesifik, manfaat yang begitu jelas maka kita memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa pelaksanaan Projek Demonstrasi 5G sehingga 31 Dis 2020.

“Pelanjutan tempoh ini dilihat bertepatan dengan pengenalan pelan Jendela yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin pada Ogos lalu,” katanya bagi menjawab soalan asal Natrah mengenai keberhasilan Projek Demonstrasi 5G yang dijalankan dan kesediaan kementerian memperluas rangkaian 5G ke seluruh negara.

Beliau berkata pelan Jendela yang bertujuan mempertingkatkan tahap kesalinghubungan dan kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi, akan dilaksanakan secara berfasa di seluruh negara, dengan sasaran 96.9 peratus capaian liputan 4G di kawasan berpenduduk dengan kelajuan jalur lebar mudah alih 35 Mbps menjelang akhir tahun 2022.

Muhyiddin pada Ogos lepas mengumumkan Jendela, sebagai usaha meningkatkan infrastruktur digital di negara ini, dengan sasaran menangani peningkatan keperluan liputan jalur lebar tetap dan mudah alih yang lebih berkualiti, akibat pandemik COVID-19.

Jendela yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), akan meletakkan asas serta menyediakan negara kepada peralihan menuju teknologi 5G.

Sumber berita diperoleh dari Bernama

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.