Pelancaran Windows 11 ke khalayak ramai kelihatan sedikit terganggu berikutan beberapa ralat yang berlaku pada sistem operasi Microsoft baharu berkenaan.
Salah satu ralat yang amat ketara adalah pengurangan prestasi PC Windows 11 yang menggunakan pemprosesan AMD, sungguhpun pemprosesan berkenaan adalah jenis yang menyokong.
Memburukkan lagi keadaan, kemaskini Windows 11 sebelum tidak membaiki masalah yang ada. Sebaliknya menjadikan keadaan menjadi lebih teruk. Usaha sama antara kedua belah pihak, Microsoft dan AMD akhirnya pada minggu ini telah membuahkan hasil.
AMD telah menerbitkan driver cipset baharu yang membaiki masalah Windows 11 tidak menugaskan teras CPU dengan betul. Sebelum ini, sistem operasi berkenaan tidak menjadualkan bebenang (thread) pemprosesan ke teras CPU terpantas yang ada. Hal ini seterusnya telah membawa kepada kemerosotan prestasi. Masalah ini amat kerap berlaku pada CPU AMD dengan lebih dari 8 teras dan TDP lebih dari 65W.
Untuk mendapatkan kemaskini ini, layari laman sokongan AMD untuk mendapatkan AMD Ryzen Chipset Driver version 3.10.08.506. Ikuti langkah-langkah pemasangan pada PC Windows.
Sebaik selesai, anda boleh membuat semakan menerusi Apps & Features di dalam Windows 11. Jika kemaskini tersebut dilakukan dengan betul, ia akan menyatakan AMD Chipset Software version 3.10.08.506 atau yang ke atas sedang berjalan.
Selain itu, CPU AMD juga berdepan dengan masalah Windows 11 mengukur dan memfungsikan lewah cache L3 hingga memberi kesan pada sesetengah aplikasi. Ia begitu ketara pada program-program yang sensitif dengan memori dan menyebabkan kemerosostan sehingga 5% pada sesetengah permainan.
Kemaskini Windows 11 terkini yang dilancarkan semalam dijangkakan mampu menyelesaikan masalah yang berlaku ini. Anda boleh mendapatkan kemaskini yang bernombor KB5006746 di laman web rasmi Microsoft.