Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) atau lebih dikenali sebagai Laluan Shah Alam akan mula beroperasi pada 29 Jun ini. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan majlis perasmian laluan rel tersebut akan diadakan pada 28 Jun, iaitu sehari sebelum operasi komersial bermula.
Majlis tersebut bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di depot utama LRT3.
Laluan Shah Alam ini akan menyediakan perkhidmatan rel yang menghubungkan antara stesen Bandar Utama dengan Johan Setia.
Rangkaian pengangkutan ini dijangka akan memberi kelegaan kepada para pengguna, terutamanya bagi penduduk di kawasan padat sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam.
Untuk rekod, projek LRT3 ini telah berhadapan dengan siri kelewatan sejak memulakan fasa pembangunannya. Kerajaan pada asalnya merancang agar projek ini beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2025.
Walau bagaimanapun, sasaran pelancaran tersebut terpaksa ditangguhkan sekali lagi ke pertengahan tahun 2026.
Penangguhan ini terpaksa dibuat susulan laluan tersebut tidak berjaya melengkapkan fasa ujian larian tanpa kerosakan atau fault-free runs (FFR) pada masa yang ditetapkan.












