Kemaskini: Selepas melihat dengan lebih teliti serta maklumat dari sumber-sumber lain, keputusan ujian penanda aras di dalam video ini didapati kurang tepat. Ujian yang dilakukan pada Windows 10 dilakukan di dalam mod prestasi “Recommended”. Manakala untuk ujian Windows 11 pula diletakkan di dalam mod “High Performance”. Ini menjelaskan mengapa terdapat perbezaan yang amat ketara di antara kedua-dua sistem operasi berkenaan. Walaupun Windows 11 kelihatan menawarkan penambahbaikan prestasi, ujian penanda aras yang diterangkan di dalam video di dalam artikel ini bagaimanapun tidak menggambarkannya dengan tepat. Oleh itu, artikel di dalam ini telah dikemaskini bagi menggambarkan keadaan yang sebenar.

Bagi anda yang tidak sabar untuk menguji Windows 11 lebih awal dari tarikh pelancaran rasminya, anda boleh mendapatkannya menerusi build yang tertiris.

Bagaimanapun, seorang Youtuber ini mendakwa telah mendapatkan salinan rasmi sistem operasi berkenaan dari Microsoft. Beliau telah memperincikan perbezaan prestasi di antara Windows 10 dengan Windows 11. (Kemaskini: Pemasangan yang dibuat adalah dari fail pemasangan yang tertiris di internet)

Video berkenaan menjelaskan secara panjang lebar mengenai Windows 11 dari pelbagai sudut. Merangkumi dari pengukuran prestasi melalui 3DMark dan Geekbench 5 sehinggalah ke perbandingan kelajuan masa melakukan boot.

Berikut adalah sebahagian dari perincian perbezaan prestasi yang dikongsikan oleh Ben di dalam videonya:

Windows 11 Pro Build 21996.1 boleh di boot 18.75% lebih pantas (13 saat) berbanding Windows 10 Pro Build 19043 (16 saat).

Windows 11 vs Windows 10 di 3DMark

Windows 10 mendapat markah 6,872 di dalam 3DMark pada 4.8GHz, dengan suhu CPU mencecah 92°C, dan GPU mencecah 76°C. Manakala Windows 11 pula mencatatkan markah 7,613 di dalam 3DMark pada 4.9GHz, dengan suhu CPU mencecah 99°C, dan GPU 78°C. Markah Windows 11 didapati 9.74% lebih baik di 3DMark dan 2.05% lebih kelajuan klok, namun menyebabkan CPU 7.08% lebih panas.

Pengukuran kelajuan SSD dengan CrystalDiskMark

Ukuran kelajuan SSD menerusi CrystalDiskMark pula menunjukkan keputusan berikut:

  • Windows 10: Kelajuan membaca 2,930 MB/s, kelajuan menulis 3,189 MB/s
  • Windows 11: Kelajuan membaca 3,448 MB/s, kelajuan menulis 3,336 MB/s

Keputusan ini menunjukkan Windows 11 mempunyai kelajuan membaca 15.03% lebih pantas dan kelajuan menulis 4.41% lebih pantas.

Ujian Windows 11 berdasarkan GeekBench

Ben Anonymous juga melakukan pengujian melalui GeekBench 5:

  • Windows 10 mencatatkan markah prestasi teras tunggal pada 1,138, markah berbilang teras 6,284, pada kelajuan 4.8GHz dan suhu CPU mencapai 97°C
  • Windows 11 pula mencatatkan markah prestasi teras tunggal pada 1,251, markah berbilang teras 7,444 pada kelajuan 4.9GHz dan suhu CPU mencapai 93°C.

Ini bermakna prestasi Windows 11 untuk teras tunggal dan berbilang teras masing adalah 9.04% dan 2.05% lebih baik dari Windows 10. Pada masa yang sama, suhu CPU juga lebih sejuk 4.13%.

Kesemua pengiraan di dalam video ini bagaimanapun tidak menggambarkan prestasi sebenar kerana perbezaan jenis mod yang digunakan.

Ujian yang dilakukan oleh portal Hot Hardware baru-baru ini telah mengesahkan perkara ini. Kesemua ujian-ujian yang dilakukan dan dikongsikan di internet pada ketika ini dilakukan pada build yang tertiris.

Oleh itu, anggaplah maklumat yang dikongsikan selain dari saluran rasmi di internet mengenai Windows 11 ini sebagai desas-desus semata-mata.

Tinggalkan komentar