Pihak berkuasa di Pahang baru-baru ini telah membuat serbuan ke atas sebuah premis berikutan terdapat laporan penggunaan tenaga elektrik yang tinggi. Premis kediaman tiga tingkat berkenaan telah diubahsuai sebagai tapak perlombongan mata wang kripto, Bitcoin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook rasmi Polis Pahang, pendawaian elektrikal premis telah diubahsuai bagi menampung keperluan perlombongan tersebut.
Tidak dinyatakan, bagaimana kaedah perlombongan kripto tersebut dilakukan sama ada menggunakan set GPU atau tidak. Berdasarkan foto yang dikongsikan, berkemungkinan kaedah yang digunakan melalui set peranti ASIC.
Perlombongan mata wang kripto buat masa ini belum diwartakan sebagai satu kesalahan jenayah. Kesalahan yang dilaporkan tersebut melibatkan membuat pendawaian elektrikal tanpa kebenaran dan juga mencuri bekalan elektrik.
Penggunaan tenaga elektrik yang tinggi dari set perlombongan mata wang kripto tersebut boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan sekitarnya.
Populariti mata wang kripto seperti Bitcoin telah menyebabkan nilainya meningkat mendadak dengan 1 syiling Bitcoin bersamaan lebih kurang RM187,000.
Tambahan pula dengan pelaburan oleh Encik Elon Musk sebanyak US$1.5 billion (~RM6.11 billion) telah meningkatkan nilai mata wang tersebut dalam tempoh semalaman.
Malah, nilai mata wang kripto kedua tertinggi, Ethereum turut sama meningkat naik dengan nilai 1 syiling Ethereum bersamaan RM7,360.













