Mei lalu, POCO telah mengesahkan POCO F3 GT akan dilancarkan sekitar suku tahun ketiga tahun 2021 di India. Telefon ini dikatakan Redmi K40 Gaming Edition versi yang dijenamakan semula, menurut 91mobiles.
Tarikh pelancaran POCO F3 GT disasarkan akan dibuat sekitar sepuluh hari pertama bulan Ogos nanti. Terdapat juga kemungkinan POCO akan mula mengeluarkan iklan acah bagi F3 GT di pasaran India kelak.
POCO F3 GT juga dikatakan akan menawarkan spesifikasi yang sama seperti telefon pintar berfokus permua seperti Redmi K40 Gaming Edition. Tidak dapat dipastikan sama ada ia akan menyediakan pencahayaan RGB dan butang picu di bahunya seperti yang terdapat pada telefon Redmi berkenaan.
Jika betul POCO F3 GT merupakan Redmi K40 Gaming Edition yang dijenamakan semula, spesifikasinya juga sepatutnya adalah sama. Redmi K40 Gaming Edition menawarkan paparan OLED FHD+ 6.67-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz.
Telefon Redmi tersebut juga mempunyai cipset Dimensity 1200 dengan RAM LPDDR4x sehingga 12GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB. Ia juga mempunyai bateri berkapasiti 5,065mAh yang menyokong pengecasan pantas 67W.