PlayStation Portal pertama kali diumumkan pada Ogos tahun lepas dan mula memasuki pasaran antarabangsa pada November tahun yang sama. Kini, hampir setahun selepas pengumuman tersebut, Sony telah mengumumkan aksesori khas Remote Play tersebut ke pasaran Malaysia.
Menerusi hantaran di blog rasminya, Sony telah mengumumkan PlayStation Portal akan hadir menemui pengguna di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand pada 9 Oktober ini. Di Malaysia, harganya akan dijual pada harga RM999, sama dengan harga earbuds TWS Pulse Explore ketika mula diperkenalkan awal tahun ini.
PlayStation Portal merupakan aksesori Remote Play boleh pegang untuk PlayStation 5. Ia mempunyai skrin LCD 8-inci beresolusi 1080p pada 60fps dengan sokongan suapan balik haptik dan pemicu adaptif DualSense terbina dalam.