CIMB secara rasminya telah melaksanakan perancangan untuk menutup secara beransur-ansur perkhidmatan di dalam aplikasi Clicks. Tindakan ini dibuat selepas pengumuman oleh pihak bank berkenaan pada Mei lalu yang menyatakan aplikasi Clicks tidak lagi boleh dimuat turun dan akan digantikan oleh aplikasi OCTO yang lebih maju.
Perkhidmatan pertama yang akan dihentikan kelak melibatkan sokongan isian semula dan pendepositan dan pengeluaran e-Fixed Deposit bermula Ogos 2024. September kelak, aplikasi tersebut tidak lagi menyokong transaksi QR DuitNow dan juga perkhidmatan pemindahan luar negara seperti SpeedSend dan Foreign Telegraphic Transfer.
Aplikasi ini juga nanti tidak akan menyokong JomPAY bersama-sama CIMB Deals bermula Oktober 2024. Bagi anda yang masih menggunakan aplikasi Clicks, anda dinasihatkan supaya memuat turun aplikasi OCTO memandangkan perkhidmatan-perkhidmatan yang dinyatakan itu tadi disokong pada di dalam aplikasi OCTO. Anda boleh memuat turun aplikasi berkenaan menerusi Google Play Store, Apple App Store, dan Huawei App Gallery.
Aplikasi OCTO mula diperkenalkan pada hujung 2022 dengan menampilkan antaramuka pengguna yang lebih baik dan juga ciri keselamatan yang telah dipertingkatkan. Ia membolehkan anda membuat semakan segera baki akaun dan sejarah transaksi, menggunakan DuitNow, melaraskan had transaksi, menjadualkan pembayaran bil, menggunakan SecureTAC untuk transaksi dalam talian dan sebagainya.