JOHOR BAHRU, 27 Julai 2024 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi
peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), hari ini
menganjurkan siri program Jelajah Saya Digital (JSD) bertempat di Angsana Mall, Johor
Bahru, Johor, selama dua hari bermula 26 hingga 27 Julai dengan anggaran pengunjung
seramai 2,000 orang.
Selaras dengan aspirasi kerajaan negeri menerusi Maju Johor 2030 yang memastikan
ekonomi negeri berdaya tahan demi kemakmuran rakyat Johor antaranya dengan
transfomasi terhadap inisiatif digital, program JSD bertepatan dalam membuka peluang
kepada masyarakat tempatan untuk meningkatkan kemahiran digital mereka, di samping
melahirkan lebih ramai generasi celik digital.
Kempen Saya Digital diperkenalkan pada akhir tahun 2020 bagi membantu
meningkatkan kemahiran digital rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran dunia
digitalisasi. Inisiatif ini juga sebagai satu usaha dalam mendayaupayakan rakyat untuk
menangani kos sara hidup melalui penggunaan platform digital.
Melalui kempen ini juga, ianya dijangka dapat mewujudkan kesedaran rakyat tempatan
tentang kepentingan teknologi digital dan penyelesaian gaya hidup pintar dengan
memberi peluang sama rata kepada rakyat di kawasan bandar tanpa meninggalkan
penduduk di luar bandar.
JSD adalah sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu,
Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance, dan Saya Digital
Kerjaya yang memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu B40, graduan menganggur,
warga emas, orang kelainan upaya, pelajar sekolah, serta universiti termasuk usahawan
mikro, kecil, dan sederhana.
Beberapa program disediakan oleh MDEC menerusi program JSD. Antaranya adalah
program eUsahawan dan MyDigitalMaker. Melalui program eUsahawan ini MDEC
berjaya melatih seramai 564,629 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan di seluruh
negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.26 bilion.
Setakat Jun 2024, program JSD ini telah menjelajahi ke 68 lokasi dan berjaya melatih
seramai 27,154 peserta dari seluruh negara, sejak diperkenalkan pada akhir 2020 dan
bagi tahun ini juga MDEC menyasarkan seramai 40,000 peserta untuk menyertai
program JSD di 31 lokasi.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk sesi perkongsian oleh MDEC dan rakan strategik, klinik literasi digital dan siber, sesi latihan, gerai pameran, serta aktiviti menarik lain seperti cabutan bertuah, dan pertandingan eSports. Hadirin turut menerima manfaat dari sesi perkongsian mengenai aplikasi robotik dan teknologi AI di dalam pendidikan serta tips keselamatan untuk mengelakkan penipuan di alam siber.
Acara JSD @ Johor Bahru telah dirasmikan bersama oleh YB Tuan Aznan Bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor dan YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Rakan-rakan strategik MDEC untuk JSD @ Johor Bahru iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TM-Unifi Business dan PDRM yang turut sama mengadakan sesi perkongsian dalam acara ini.
Untuk maklumat lanjut dan untuk menyertai siri Jelajah Saya Digital, sila layari https://mdec.my/sayadigital