Rafizi Ramli akan mengumumkan pelancaran inisiatf ‘PinjamGajet’ esok. Ia merupakan sebuah program baharu di bawah kempen Ayuh Malaysia yang menawarkan kemudahan sewaan peranti elektronik pada kadar serendah RM10 sebulan.

Berkonsepkan sumbangan komuniti, inisiatif ini dijadualkan untuk pelancaran rasmi pada 8 Mac 2026. Ia bertujuan membantu merapatkan jurang digital dan melengkapkan kumpulan sasar dengan kemudahan teknologi.

Inisiatif PinjamGajet dibangunkan sebagai platform pemerkasaan masyarakat melalui akses teknologi yang inklusif. Program ini menggalakkan kelestarian dengan menggunakan semula peranti terpakai. Sekali gus menyediakan jalan penyelesaian yang jauh lebih ekonomik untuk pelajar dan pekerja berbanding kos pembelian peranti baharu di pasaran.

Menurut Rafizi, PinjamGajet adalah satu inisiatif yang membolehkan orang awam menderma gajet elektronik terpakai seperti komputer riba (laptop) yang akan dibaik pulih sebelum disewakan kepada mereka yang memerlukan.

Antara ciri dan fokus utama inisiatif PinjamGajet adalah:

  • Berfungsi sebagai inisiatif ketiga yang dilancarkan secara rasmi di bawah payung kempen Ayuh Malaysia.
  • Membuka ruang dan menggalakkan orang awam menderma peranti atau komputer riba terpakai yang tidak lagi digunakan.
  • Melaksanakan proses baik pulih (refurbish) secara profesional bagi memastikan setiap peranti beroperasi pada tahap optimum sebelum diserahkan kepada penyewa.
  • Menawarkan kos sewaan peranti yang sangat berpatutan, iaitu pada kadar bermula RM10 pada setiap bulan.

Pelaksanaan PinjamGajet dijangka memberi impak serampang dua mata. Ia bukan sahaja membantu pelajar dan isi rumah berpendapatan rendah untuk mendapatkan kelengkapan pembelajaran digital, malah turut menyumbang kepada pengurangan sisa elektronik (e-waste) di Malaysia.

Cara pendaftaran dan serahan sumbangan peranti dijangka diumum semasa pelancaran rasmi esok. Maklumat lanjut, layari https://pinjamgajet.ayuhmalaysia.org/

Tinggalkan komentar