Dalam dunia laptop yang sentiasa berubah, ada beberapa perkara yang masih lagi kekal dalam tempoh yang agak lama. Antaranya port USB 2.0 yang berwarna hitam pada lubangnya berbanding biru untuk USB 3.0 yang lebih terkini. Teknologi tersebut telah lama wujud sejak dari tahun 2000, namun mengapa ia masih lagi wujud?
Isi Kandungan
USB 3.0: Tidak Begitu Selari Seperti Yang Kelihatan
Walaupun secara teorinya USB 3.0 mempunyai kompatibiliti dengan USB 2.0 dan juga USB 1.1, secara praktikalnya kadangkala perkara tersebut tidak berlaku. Beberapa peranti USB 2.0 atau yang lebih lama kadangkala tidak dapat disesuaikan apabila disambungkan ke port USB 3.0 atau lebih baru.
Ketidakseragaman ini berpunca dari pelaksanaan kompatibiliti ke belakang yang berbeza oleh pengilang pengawal hos USB. Oleh itu, mengekalkan sekurang-kurangnya satu port USB 2.0 pada laptop membolehkan peranti-peranti lama digunakan. Ia juga penting kerana tidak semua pihak terutamanya organisasi besar yang berkemampuan mengemaskini perkakasan yang lebih terkini.
USB 2.0: Penyelamat Yang Boleh Diharapkan
Usia USB 2.0 yang agak lama di dalam era teknologi maklumat setidaknya mampu memastikan setiap sistem operasi moden menyediakan sokongan asas untuknya. Antara masalah yang mungkin boleh timbul adalah ketika pemasangan sistem operasi (OS) baharu melalui port USB 3.0, namun terhalang kerana tiada pemacu (driver) dari OS tersebut.
Dalam situasi sedemikian, port USB 2.0 yang ada pada peranti tersebut mampu menjadi penyelamat, dan seterusnya memudahkan pemulihan pemacu dan juga fungsi sistem sepenuhnya.
USB 3.0: Terlalu Canggih Untuk Peranti Asas
USB 3.0 yang pantas ini datang dengan kos yang lebih tinggi untuk disertakan dalam komputer. Walau bagaimanapun, banyak peranti biasa, seperti tetikus, papan kekunci, dan peranti audio USB, tidak memerlukan kelajuan 480Mbps yang ditawarkan oleh USB 2.0, apatah lagi kelajuan multi-gigabit USB 3.0.
Bagi kebanyakan pengguna, USB 2.0 mencukupi untuk hampir semua peranti kecuali storan luaran dan peralatan audio/video.
USB 2.0: Kuasa Rendah, Manfaat Besar
USB 2.0 hanya menggunakan arus 500 milliampere, manakala USB 3.0 menggunakan hampir dua kali ganda dari kapasiti tersebut. Oleh yang demikian, port USB moden kemungkinan turut meningkatkan keperluan penggunaan kuasa GPU dan CPU
Penambahan port USB 2.0 tidak memberikan kesan yang besar terhadap penambahan kos penghasilan sesebuah peranti tersebut. Atas sebab itu, port berkenaan lebih sesuai untuk peranti kuasa rendah seperti tetikus dan papan kekunci, selain menyediakan fleksibiliti untuk kos yang lebih efektif.
Kunci Keselamatan USB
Kunci keselamatan USB digemari oleh pengguna yang peka terhadap keselamatan dan organisasi dan ia memerlukan sebuah port khas. Kunci digital ini membolehkan pengguna-pengguna tertentu mendapat akses ke fail atau dokumen digital terperingkat di dalam cakera berenkripsi atau rangkaian tertutup khas.
Port USB 2.0 sesuai untuk tujuan ini dengan memastikan kompatibiliti tanpa mempengaruhi keupayaan pemindahan data pantas.
Kesimpulan
Kehadiran port USB 2.0 dalam laptop moden masih lagi diperlukan atas sebab yang praktikal terutamanya melibatkan penggunaan peranti dan aksesori usang (legacy) tetapi masih elok berfungsi. Faktor ketersediaannya yang meluas juga dapat mengurangkan kos untuk menyediakannya selain lebih mudah untuk diselaraskan dengan ekosistem digital sedia ada.