Badan piawaian port USB antarabangsa, USB Implementers Forum (USB-IF) baru-baru ini telah memuktamadkan spesifikasi teknikal untuk USB4. Spesifikasi ini akan digunapakai oleh para pereka, jurutera dan pengeluar dalam masa yang terdekat ini.
Piawaian ini bakal menyenaraikan keperluan kelajuan 40Gbps dwi-laluan yang menyamai kadar pemindahan Thunderbolt 3 atau dua kali ganda kelajuan USB 3.2.
Bentuk fizikal USB4 adalah sama dengan bentuk USB Type-C dan ianya boleh diserasikan dengan USB 3.2, USB 2.0, dan Thunderbolt 3. Justeru, membolehkan pengguna menggunakan sebarang peranti USB Type-C sedia ada ke sesebuah peranti yang menyediakan port USB4. Sambungan jenis terbaru ini juga mirip dengan USB3 yang menyokong protokol pemindahan data dan paparan. Oleh itu, dijangkakan pada masa akan datang monitor bakal menyediakan pilihan port USB3 bersama-sama port sedia ada seperti HDMI.
Ketidakserasian antara port USB3 dan Thunderbolt 3 mungkin mendatangkan kerunsingan buat sesetengah pengguna. USB3, walaupun kadar pemindahan datanya adalah separuh dari kelajuan yang ditawarkan oleh Thunderbolt 3, ianya masih lagi menjadi pilihan utama pengguna. Oleh yang demikian, diharapkan melalui penetapan piawaian USB4 ini nanti kelak, satu sambungan silang platform dapat disatukan.
Kadar pemindahan data 40Gbps yang ditawarkan oleh Thundebolt 3 telah memberikan manfaat besar buat pengguna terutamanya golongan profesional bidang kreativiti. Kerja-kerja yang melibatkan suntingan video, animasi dan aliran kerja pemodelan 3D dapat dipertingkatkan dengan kadar pemindahan data yang pantas.
Selain itu, teknologi pemindahan data yang pantas dari Thunderbolt 3 ini juga turut membawa kepada penghasilan kategori produk yang baru iaitu GPU luaran (external GPU).
Secara keseluruhannya, penghasilan sambungan berpiawaian kelajuan seperti Thunderbolt 3 dan lebih universal seperti diharapkan pada USB4 ini nanti dapat mempercepatkan transisi teknologi di kalangan pengguna harian biasa.
Sumber berita diperoleh dari 9to5 Google