fbpx
Utama Internet Penerima BR1M bakal menerima Dekoder Percuma

Penerima BR1M bakal menerima Dekoder Percuma

1459
2

Sebanyak 4.2 juta dekoder percuma diperuntukkan untuk isi rumah dalam senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi membolehkan golongan itu menikmati siaran digital, MyFreeview percuma tanpa yuran bulanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah tersebut adalah satu lagi usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

‘‘Kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan sebanyak 2.2 juta set dekoder percuma lagi sebagai tambahan kepada dua juta set dekoder percuma yang diper­untukkan oleh pihak syarikat MYTV, menjadikan keseluruhannya 4.2 juta dekoder percuma untuk isi rumah dalam senarai BR1M.

 ‘‘Pemberian dekoder percuma ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga suku kedua 2018,’’ katanya ketika merasmikan siaran digital MyFreeview di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

MyFreeview merupakan projek yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyediakan perkhidmatan penyiaran tele­visyen digital dan radio terbaik secara percuma.

Menurut Perdana Menteri, pemberian dekoder percuma kepada isi rumah yang layak daripada senarai penerima BR1M akan mempercepatkan proses migrasi daripada analog ke digital.

‘‘Berbanding negara-negara maju serta tetangga dalam ASEAN, Malaysia merupakan salah satu negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyat terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan,’’ kata­nya.

Tambah beliau, Malaysia telah menyasarkan tarikh penutupan penyiaran televisyen analog pada Jun 2018.

Najib memberitahu, transformasi penyiaran televisyen terrestrial digital tersebut merupakan perkembangan dan fenomena sedunia di mana lebih daripada 60 negara maju telah melaksanakan migrasi penyiaran televisyen analog ke digital serta menutup penyiaran televisyen analog sejak 2007.

‘‘Negara-negara ASEAN termasuk Malaysia telah mene­tapkan penutupan penyiaran televisyen analog secara berpe­ringkat di antara 2015 sehingga 2020.

‘‘Negara jiran kita, Singapura telah menetapkan penutupan penyiaran analog pada 2017 dan Malaysia telah menyasarkan tarikh penutupan penyiaran te­levisyen analog pada Jun 2018,’’ katanya.

Sumber berita diperoleh dari Utusan

2 KOMEN

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.