Kebanyakan pengguna di Malaysia seringkali mengalami kelewatan jadual penerbangan atas pelbagai sebab dan kadangkala pengguna tidak mendapat ganti rugi atas kelewatan tersebut. Hal ini mungkin akan berubah tidak lama lagi apabila pelaksanaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) pada bulan hadapan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kod perlindungan yang dikemaskini ini akan digazetkan oleh Kementerian Pengangkutan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 2 September 2024.
Hasil daripadanya kelak, kesemua syarikat penerbangan yang beroperasi di dalam Malaysia perlu menawarkan penggantian sepenuhnya pembayaran untuk kelewatan penerbangan yang melebihi 5 jam dan juga gangguan penerbangan disebabkan oleh sebab-sebab yang luar biasa.
Syarikat penerbangan masih lagi boleh menawarkan kaedah pampasan alternatif seperti baucer atau kredit, namun terpulang kepada pengguna sama ada masih ingin menuntut bayaran sepenuhnya dalam bentuk wang. Tempoh pemulangan kepada pengguna ditetapkan pada 30 hari, menurut Anthony Loke lagi.
Lain-lain perubahan yang akan dilaksanakan melalui kod perlindungan yang diperbaharui ini termasuklah maklumat tambang perlu didedahkan sepenuhnya termasuk bayaran yang dikenakan berserta caj di dalam pengiklanan. Bermula Januari 2025, semua syarikat penerbangan perlu memberitahu pelanggan berkenaan sebarang perubahan pada waktu berlepas yang dijadualkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum.