Astro pada hari ini telah mendedahkan pek TV baharunya yang seiring dengan integrasi Netflix ke dalam Ultra Box. Pelanggan Astro sedia ada yang ingin menggabungkan Netflix dengan langganan Astro, anda perlu menukar ke pek TV baharu untuk mendapatkannya.
Perkara ini telah dijelaskan oleh Astro menerusi laman web rasminya. Menerusi pek baharu ini, akses ke Netflix melalui Astro ditawarkan melalui Entertainment Plus Pack dan ke atas dengan harga dari RM129.99 bersama-sama Ultra Box. Netflix juga ditawarkan pada Premium Pack 2, Premium Pack 3, dan Platinum Pack.
Harga bagi pek-pek ini juga bergantung pada tempoh kontrak yang anda pilih serta bayaran pemasangannya yang bermula dari RM39.00 mengikut tempoh kontrak dan juga kaedah pemasangan.
Seperkara lagi yang perlu anda ambil perhatian adalah secara lalai, pelanggan Astro menerima pelan Standard untuk Netflix. Pelan ini menyediakan kandungan pada resolusi Full HD berserta had tontonan untuk dua peranti sahaja secara serentak.
Anda juga ditawarkan pilihan untuk menaik taraf pelan Premium Netflix ketika pendaftaran dengan tambahan sebanyak RM9.43. Pelan ini membolehkan pelanggan menonton kandungan pada resolusi sehingga 4K pada empat peranti dalam satu-satu masa. Turut disediakan peningkatan HDR/Dolby Vision dan Dolby Atmos pada peranti yang menyokongnya.