Pelanggan Astro Movie Pack akan diberikan akses ke Disney+ Hotstar dengan tambahan caj sebanyak RM5 setiap bulan. Pertambahan caj ini dikenakan kepada seluruh pelanggan yang melanggan Movie Pack, sama ada berminat atau tidak untuk mendapat akses ke Disney+ Hotstar.
Maklumat ini diperoleh menerusi dokumen soalan-soalan lazim di laman web rasmi Astro. Berdasarkan soalan nombor 11, tambahan caj RM5 sebulan akan dimasukkan secara automatik ke dalam langganan Movie Pack walaupun pelanggan tidak mengaktifkan akses ke Disney+ Hotstar.
Pelanggan pek berkenaan tiada pilihan lain untuk menolak akses ke Disney+ Hotstar selain diwajibkan menerimanya, menurut soalan nombor 17 dokumen tersebut. Astro memberikan justifikasinya seperti di dalam soalan nombor 16 bahawa ianya akan memberikan lebih nilai kepada Movie Pack.
Bagaimanapun, Astro perlu memaklumkan dengan lebih jelas tentang penambahan caj ini di dalam pengumuman rasminya.
Buat masa ini, pelanggan Movie Pack yang tidak berminat untuk mengambil Disney+ Hotstar dan menolak penambahan caj berkenaan hanya mempunyai pilihan membatalkan terus langganan pek tersebut.