Disney telah mengumumkan kehadiran platform penstriman baharu di Malaysia, Disney+ Hotstar pada acara Walt Disney Company Media Day. Platform ini akan mula bersiaran secara rasminya di Malaysia pada 1 Jun 2021.

Perkhidmatan ini ditawarkan pada harga RM54.90 untuk tiga bulan. Bagaimanapun, pihak syarikat tidak menyatakan pelan harga yang lain bagi Disney+ Hotstar di Malaysia.

Pada masa yang sama, pelanggan di Malaysia juga boleh mendapatkan perkhidmatan ini melalui pakej khas dari Astro. Tetapi, tiada perincian mengenainya dijelaskan di dalam sidang media berkenaan. Setakat ini, laman web rasmi Disnye+ Hotstar Malaysia menyatakan pelanggan Astro Movie Pack akan menerima akses ke perkhidmatan tersebut.

Walt Disney Company juga menyatakan Disney+ Hotstar Malaysia akan menawarkan lebih kurang 800 filem, dan 18,000 episod siri televisyen buat permulaan. Selain kandungan dari Disney, kandungan dari jenama dan subsidiari di bawah Disney seperti Marvel, Pixar, Fox, Star Wars, dan National Geographic turut ditayangkan.

Disney+ Hotstar juga menayangkan kandungan-kandungan tempatan menerusi perjanjian dengan penerbit dari Malaysia seperti Skop Productions, Revolution Media Films, Primeworks Studios, WAU Animation, Act 2 Pictures, Les’ Copaque Production, Red Films, dan banyak lagi.

Pengguna di Malaysia boleh melanggan dan menikmati kandungan Disney+ Hotstar Malaysia melalui laman web rasminya, dan juga aplikasi mudah alih di Android dan iOS bermula 1 Jun ini.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.