Utama Teknologi Pandang Pertama Samsung Galaxy S24 Ultra; Kini diperkasa dengan Galaxy AI

Pandang Pertama Samsung Galaxy S24 Ultra; Kini diperkasa dengan Galaxy AI

129
0

Sekali pandang dari luarannya tak nampak jauh beza dengan model keluaran tahun lepas. Namun untuk tahun ini, telefon pintar mercu keluaran Samsung terkini, Galaxy S24 Ultra menawarkan penambahbaikan yang besar dalam bentuk kecerdasan buatan (artificial intelligence, A.I.).

Selain dari sejumlah alatan berkuasa kecerdasan buatan (A.I.) yang boleh dijana melalui perkhidmatan awanan atau terus dari telefon pintar berkenaan, Galaxy S24 Ultra turut hadir dengan skrin rata AMOLED 6.82-inci dan mengekalkan lagi penawaran S Pen.

Tarikan utama Galaxy S24 Ultra tentunya pada penawaran teknologi AI yang boleh dimanfaatkan oleh penggunanya. Dari terjemahan panggilan dan mesej dalam masa nyata hinggalah membuat rumusan laman web dan menyunting foto, janaan AI terbina dalam Galaxy S24 Ultra memberikan nafas baharu dalam teknologi telefon pintar mercu masa kini.

Rekaan dan skrin

Samsung tidak ‘lari’ jauh dari estetika Galaxy sejak beberapa generasi Galaxy kebelakangan ini terutamanya untuk model Ultra. Reka bentuk luarannya secara asas kelihatan mirip dengan Galaxy S22 Ultra keluaran tahun 2022 dengan beberapa perubahan di satu-dua tempat.

Skrin rata AMOLED 6.82-inci yang digunakannya merupakan perubahan yang paling ketara untuk dikesan berbanding Galaxy S23 Ultra yang menggunakan skrin melengkung. Walaupun perubahan tersebut mungkin dilihat tidak terlalu besar, tetapi dari segi praktikalnya ia pastikan memberikan impak selain dari pengalaman kepenggunaannya.

Secara peribadi, saya lebih cenderung memilih skrin rata untuk menulis atau melukis menggunakan S Pen yang disertakan bersama dengan Galaxy S24 Ultra ini. Skrin rata memudahkan saya untuk melukis pada bahagian hujung kanvas lukisan di dalam aplikasi seperti Sketchbook atau PENUP.

Selain skrin yang rata, Samsung juga telah mengecilkan bingkai pada skrinnya dan menempatkan ruang kamera hadapannya pada bahagian tengah atasnya. Skrinnya ini juga kelihatan lebih jitu dalam menunjukkan objek gelap kerana ciri anti-silau kaca Corning yang digunakan olehnya.

Samsung merupakan pengeluar pertama yang menggunakan Gorilla Glass Armor yang 4x lebih kuat berbanding kaca sebelum ini. Ia juga mengurangkan kesan silau sebanyak 75% yang memudahkan penggunaannya di tempat yang amat terang.

Kerangka Titanium

Satu lagi perubahan yang perlu diambil perhatian pada Galaxy S24 Ultra adalah pada bahan yang digunakannya. Seperti Apple, Samsung juga telah menggunakan titanium untuk telefon pintar mercu keluarannya.

Digabungkan dengan kemasan matte pada permukaannya, ia memberikan rasa premium dan lebih kemas untuk digenggam. Cuma untuk warna pilihannya pula ia kelihatan agak kelam jika dibandingkan dengan warna-warna yang ditawarkan pada model-model sebelumnya. Kali ini, ia hadir dengan tujuh pilihan warna iaitu Titanium Black, Titanium Gray, Titanium Violet, Titanium Yellow, serta tiga lagi pilihan warna eksklusif dalam talian Titanium Blue, Titanium Orange, dan Titanium Green.

Meneruskan misi kelestarian alam sekitar, Samsung menggunakan bahan kobalt kitar semula untuk baterinya, bahan nadir bumi untuk pembesar suara dan komponen-komponen lain, serta kertas kitar semula 100% untuk kotak pembungkusannya.

Kamera

Buat pertama kali Samsung mengubah konfigurasi kamera-kamera utama untuk model Ultra keluarannya. Sama ada ia akan menjadi bertambah baik atau tidak, masih lagi terlalu awal untuk ditelah.

Ini kerana selain dari kamera utama 200MP, kamera ultra lebar 12MP dan kamera telefoto 10MP 3x yang sama seperti Galaxy S23 Ultra, lensa berperiskop 10x yang digunakan sebelum ini telah digantikan dengan 5x.

Bagaimanapun, sensor piksel adaptifnya telah ditingkatkan kepada 50MP. Piksel yang lebih besar dengan OIS 2x lebih luas ini juga diharapkan dapat melepasi kualiti model sebelumnya. Ia juga dikatakan mampu membolehkan S24 Ultra memberikan zum berkualiti optikal dari 0.6x sehingga 10x. Hal ini kami akan uji di dalam ulasan lanjut kelak.

Suntingan foto menggunakan Galaxy AI

Demonstrasi suntingan foto menggunakan AI pada Galaxy S24 Ultra melalui skrin Smart View

Kelebihan pengimejan Galaxy S24 Ultra dan juga siri S24 lain terletak pada sokongan teknologi AI janaan bergeneratif. Fungsi tersebut telah tersedia di dalam telefon pintar ini yang boleh diakses terus melalui galeri pada mana-mana foto yang disimpan di dalamnya. Foto-foto yang telah diambil juga akan didatangkan dengan cadangan untuk suntingan.

Misalnya anda boleh membuang kesan pantulan atau bayang-bayang di dalam foto melalui teknologi AI yang disediakannya. Malah, anda juga boleh menggunakan ciri memadamkan objek di dalam foto dan diisi dengan imej janaan bergeneratif bagi memperlihatkan kesan dipadam yang lebih realisitik. Suntingan bergeneratif menggunakan AI ini juga boleh digunakan untuk membetulkan imej-imej yang senget pada bucu-bucu yang terpotong.

Subjek di dalam foto juga boleh disunting seperti mengubah kedudukan atau saiznya mengikut kreativiti anda. Ia lebih kurang seperti ciri yang terdapat pada perisian Photoshop, cuma ia lebih ringkas dan lebih mudah digunakan.

Penggunaan AI di dalam telefon pintar sebelum ini pernah hadir pada peranti Google Pixel dan belum pernah didapati pada peranti-peranti Android lain. Samsung merupakan pengeluar pertama selain dari Google yang menawarkan sokongan teknologi AI Google pada peranti Android.

Prestasi dan Perisian

Penggunaan Galaxy AI tidak hanya terhad untuk suntingan foto pada Galaxy S24 Ultra semata-mata. Alatan-alatan lain juga diperkasakan dengan teknologi AI di dalam telefon pintar ini.

Antaranya pada papan kekunci Galaxy S24 Ultra, anda boleh mengakses sokongan tersebut dengan mengetik pada ikon Galaxy AI yang disediakan.

Ia bukan sahaja mampu mengubah gaya bahasa mengikut pilihan seperti formal, mesra, media sosial dan sebagainya, malah dapat menterjemahkan kepada 13 bahasa. Buat masa ini Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia masih lagi belum tersedia untuk digunakan. Pun begitu, anda boleh memanfaatkan kelebihan teknologi ini untuk memperkemaskan penggunaan Bahasa Inggeris anda.

Aplikasi Phone di dalam telefon pintar ini juga disediakan dengan fungsi terjemahan masa nyata menerusi Galaxy AI. Ia membolehkan pengguna bertutur dengan bahasa ibunda masing-masing dan diterjemahkan semula untuk difahami oleh kedua-dua belah pihak. Ia juga akan memaparkan transkrip teks pertuturan dalam masa nyata. Seperti sokongan yang terdapat pada papan kekunci, hanya 13 jenis bahasa sahaja yang disokong buat masa ini.

Produktiviti menerusi Galaxy S24 Ultra juga kini dipertingkatkan lagi melalui teknologi AI pada aplikasi Notes. Ia boleh mencatat dan menterjemahkan perbualan dalam masa yang sama disamping mampu membezakan penutur-penutur yang berbeza.

Sokongan AI ini juga boleh membuat rumusan rakaman tersebut dalam bentuk poin-poin penting secara automatik. Fungsi membuat rumusan ini juga boleh digunakan pada pelayar web Samsung Internet dan boleh dimanfaatkan untuk memudahkan kefahaman mengenai sesuatu topik yang ditulis di dalam sesebuah artikel.

Janaan AI pada peranti

Ciri-ciri sokongan AI berkaitan teks dan perbualan ini kesemuanya dilaksanakan pada peranti dan tidak memerlukan sambungan internet yang aktif. Ia juga dapat menjaga privasi pengguna selain mengurangkan risiko maklumat-maklumat sulit dan peribadi pengguna tertiris.

Sokongan janaan AI di dalam peranti ini dapat dilaksanakan hasil dari penggunaan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy dan dibantu oleh RAM LPDDR5X 12GB. Kapasiti storan dalaman pula, unit ulasan yang kami terima ini mempunyai 256GB UFS 4.0.

Telefon pintar ini menggunakan sistem operasi Android 14 melalui antaramuka OneUI 6.1 yang turut didatangkan bersama-sama pelbagai sokongan alatan A.I. terbina di dalamnya.

Buat masa ini, saya masih lagi menggodek-godek Galaxy S24 Ultra ini dan segala aspek mengenainya akan diperincikan lagi di dalam ulasan lanjut yang akan datang.

Harga Samsung Galaxy S24 Ultra di Malaysia

Bersempena pelancaran siri Galaxy S24 baharu ini, Samsung menawarkan promosi pra-tempahan sehingga 6 Februari 2024 secara eksklusif di laman web rasmi Samsung Malaysia. Galaxy S24 Ultra kini ditawarkan dengan dua pilihan konfigurasi storan iaitu 512GB dan 1TB dengan harga masing-masing RM6,299 dan RM7,299 sepanjang tempoh tersebut.

Samsung Galaxy S24 Ultra hadir dengan tiga pilihan konfigurasi storan dengan harga seperti berikut:

  • Samsung Galaxy S24 Ultra; RAM 12GB, storan 256GB – RM6,299
  • Samsung Galaxy S24 Ultra, RAM 12GB, storan 512GB – RM6,799
  • Samsung Galaxy S24 Ultra, RAM 12GB, storan 1TB – RM7,799

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.