Utama Samsung Pandang Pertama Samsung Galaxy Tab S9 FE

Pandang Pertama Samsung Galaxy Tab S9 FE

90
0

Samsung giat memperkenalkan pelbagai produk-produk baharunya dalam tempoh sebulan kebelakangan ini melalui barisan peranti Fan Edition (FE). Selepas membuat ulasan untuk Galaxy S23 FE dan juga Galaxy Buds FE, kini tiba giliran Galaxy Tab S9 FE pula untuk kami ulas kali ini.

Di dalam ulasan ini, kami menerima model Wi-Fi sahaja dan tiada sokongan rangkaian 5G dan LTE. Dari segi prestasi, kami berpendapat ia tidak berbeza dan hanya tidak menawarkan sokongan ketersambungan mudah alih berkenaan sahaja.

Secara asasnya, Galaxy Tab S9 FE merupakan varian Galaxy Tab S9 yang lebih mesra bajet. Dari segi harga, ia merupakan saingan rapat kepada tablet Apple iPad Generasi Ke-10 dan iPad Air M1.

Melalui kerangka aluminium padu dan bucu yang membulat, tablet ini menarik untuk dipegang dengan rekaannya yang hampir sama dengan siri Galaxy Tab S9. Pun begitu, secara perbandingan dengan Galaxy Tab S9, tablet ini dirasakan agak berat pada 523g walaupun mempunyai saiz skrin yang lebih kurang sama.

Walaupun tablet agak jarang untuk dibawa ke mana-mana sebagaimana telefon pintar, Galaxy Tab S9 FE menawarkan sokongan kerintangan air dan debu IP68. Ia setidaknya memberikan perlindungan jika berlaku kemalangan kecil seperti tertumpah air minuman atau terkena percikan tempias air hujan.

Dari segi warna, Galaxy Tab S9 FE hadir dengan pilihan warna yang lebih segar melalui Mint, dan Lavender selain turut menawarkan warna tipikal bagi sesebuah tablet, kelabu dan perak. Untuk ulasan kali ini, kami menerima unit yang berwarna perak yang pada saya tidak kurang cantiknya.

S Pen untuk Galaxy Tab S9 FE

Warna untuk S Pen yang disediakan bersama-sama dengannya disesuaikan mengikut warna pilihan tablet berkenaan. Misalnya untuk warna perak, S Pen yang disediakan berwarna putih. Manakala untuk warna lain seperti Mint, Lavender, dan kelabu pula masing-masing mengikut pilihan warna tabletnya.

Rekaan S Pen untuk tablet FE ini kelihatan lebih kurang sama dengan rekaan S Pen untuk siri tablet Galaxy lain seperti Tab S9 dan Tab S8. Namun, berbeza dengan pena stylus untuk siri Tab S9 dan S8 berkenaan, S Pen untuk Tab S9 FE ini tidak menyokong Bluetooth Low-Energy (BLE). Justeru tidak boleh digunakan untuk fungsi kawalan jarak jauh seperti air-commands.

Lain-lain ciri unik S Pen bagaimanapun masih lagi dikekalkan seperti sokongan menyendeng (tilt), sensitiviti tekanan sehingga 4096 tahap dan pengesanan tapak tangan (palm rejection). S Pen jenis ini tidak dikuasakan oleh bateri, oleh itu pengecasan atau pemadanan tidak diperlukan. Kami akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai S Pen ini di dalam ulasan yang akan datang.

Skrin LCD TFT dengan kadar penyegaran semula 90Hz

Berbeza dengan siri Tab S9 yang menawarkan skrin Dynamic AMOLED 2X, Galaxy Tab S9 FE hanya menawarkan panel LCD TFT. Walaupun tidak secantik paparan melalui skrin AMOLED, pengendalian di atas skrinnya lebih lancar berbanding S7 FE. Hal ini kerana kadar penyegaran skrin untuk S9 FE menawarkan 90Hz berbanding S7 FE sebelum ini yang hanya 60Hz.

Kuasa pemprosesan GalaxyTab S9 FE dipacu oleh Exynos 1380, jenis pemprosesan yang sama dengan Galaxy A54 5G. Ia turut dibantu oleh RAM 8GB dan storan 256GB, berdasarkan unit yang kami terima ini. Selain dari kapasiti tersebut, Samsung turut menyediakan pilihan kapasiti RAM 6GB dan storan 128GB.

Kegunaan ringkas seperti melayari laman web atau menjalankan tugasan melalui Samsung DeX didapati dapat dikendalikan dengan baik. Setakat tempoh pengujian yang saya jalankan, saya masih lagi belum mendapati sebarang isu berkaitan prestasi. Semuanya masih lagi berjalan dengan lancar.

Secara keseluruhannya, Galaxy Tab S9 FE mampu memberikan prestasi yang memuaskan sepadan dengan harga penawarannya. Lain-lain perincian mengenai tablet ini seperti kamera, bateri dan S Pen akan dikupas dengan lebih lanjut dalam masa yang terdekat ini.

Harga Samsung Galaxy Tab S9 FE di Malaysia

Anda yang berminat untuk mendapatkan Galaxy Tab S9 FE boleh mendapatkannya menerusi Shopee dan Lazada, selain turut ditawarkan di Samsung Malaysia.

Samsung Galaxy Tab S9 FE WiFi

  • 128GB – RM2,099
  • 256GB – RM2,399

Samsung Galaxy Tab S9 FE 5G

  • 128GB – RM2,699
  • 256GB – RM2,999

Samsung Galaxy Tab S9 FE+ WiFi

  • 128GB – RM2,799
  • 256GB – RM3,099

Samsung Tab S9 FE+ 5G

  • 128GB – RM3,399
  • 256GB – RM3,699

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.