Utama Android Oppo Ulasan Oppo Reno 8 Pro 5G – Telefon pintar peringkat menengah ‘Premium’

Ulasan Oppo Reno 8 Pro 5G – Telefon pintar peringkat menengah ‘Premium’

1094
0
OPPO Reno 8 Pro 5G Malaysia

Oppo Reno 8 Pro 5G telah dilancarkan bersama-sama Reno 8 ke pasaran Malaysia pada pertengahan Julai baru-baru ini. Telefon pintar peringkat ‘menengah premium’ ini berharga RM3,489 ketika dilancarkan dan boleh didapati di kedai dalam talian Oppo Malaysia, Shopee dan Lazada.

Telefon pintar ini hadir dengan reka bentuk mantap bersama-sama bateri yang tahan lama yang menyokong pengecasan pantas. Kamera utamanya juga cekap mengambil foto yang cantik, tapi untuk kamera lain selain dari kamera utamanya pula agak sendu hasilnya.

Reka bentuk Oppo Reno 8 Pro 5G

Reno 8 Pro merupakan telefon pintar yang ‘kacak’ dan anda mungkin berasa bangga apabila membawanya ke hulu ke hilir. Oppo juga telah memantapkan ilmu rekabentuk modul kamera berintegasi pada telefon pintar keluarannya sejak kebelakangan ini.

Sungguhpun modul kamera pada bahagian belakang Reno 8 Pro 5G ini besar, lengkungan halus disekeliling bonjolan kameranya mengurangkan kesan yang amat ketara selain memberikan telefon pintar ini jati dirinya yang tersendiri.OPPO Reno 8 Pro 5G Design

Jika tidak kerana bonjolan ini juga, telefon pintar ini mungkin kelihatan terlalu rata kerana permukaan telefon pintar ini serba serbi rata termasuk bucunya yang sedikit menajam. Mujur juga ia hanya seberat 186 gram, dan anda mungkin tidak merasa lenguh untuk memegangnya dalam tempoh yang lama.

Melalui perlindungan dari kaca Gorilla Glass 5 pada bahagian hadapan dan belakangnya, telefon pintar ini kalis air dengan penarafan IP54. Penarafan tahap ini sudah memadai bagi kegunaan harian untuk melindungi dari percikan air dan hujan untuk seketika. Taraf kerintangan air ini bagaimanapun tidak mampu membuatkan Oppo Reno 8 Pro bertahan jika direndamkan ke dalam air untuk satu jangka masa yang lama.

Ringan dan selesa apabila dipegang menjadikan Reno 8 Pro menarik untuk digunakan dan melalui bingkai nipisnya disekeliling skrin AMOLED 6.7-inci memberikan ia gaya moden apabila dipandang dari sebelah hadapan.OPPO Reno 8 Pro 5G AMOLED

Terdapat dua pilihan warna yang disediakan untuk telefon pintar ini – Glazed Black dan Glazed Green seperti unit ulasan yang kami terima ini.

Kamera Oppo Reno 8 Pro 5G

Reno 8 Pro menggunakan kamera utama yang sama dengan Oppo Find X5 Pro iaitu Sony IMX766 50MP. Bersebelahan dengannya pula terdapat kamera biasa bersudut lebar 8MP dan kamera 2MP.

Pada hadapannya pula disediakan sebuah kamera 32MP dengan autofokus yang lengkap dengan ciri bantuan bagi membolehkan 60% lebih cahaya berbanding telefon Reno sebelum ini.

Unit pemprosesan imej (ISP) MariSilicon X pada telefon pintar ini meningkatkan prestasi fotografi dan videografi dalam keadaan pencahayaan rendah. Kamera utamanya pula, IMX766 mampu menangkap foto yang memikat dengan palet warna semula jadi, tinggi perincian, dan kesan HDR yang sedap dipandang dalam keadaan yang tepat.

Kamera bersudut lebarnya pula agak hambar prestasinya memandangkan resolusinya yang rendah mengakibatkan foto yang dihasilkan mempunyai pikselasi. Terdapat kesan hingar pada imej, manakal kontras yang lemah mengurangkan perinciannya. Hasil tangkapan yang diperoleh bukannya langsung tidak boleh dipakai, cuma ia sekadar asalkan boleh sahaja.

Zum digital yang disediakannya juga tidak begitu menyerlah kerana hasilnya kelihatan tidak begitu asli.Oppo Reno 8 Pro Camera Zoom Kelab Tasik Putrajaya

Macam mana pula dengan kamera swafotonya?

Pendek cerita, ia bagus. Terdapat perincian yang agak baik disediakan dengan autofokusnya membantu menghasilkan mod portret dengan jitu, tona kulit juga sekata selain ciri gerak isyarat tangan memudahkan tangkapan foto dilakukan.

Waktu malam adalah waktu ISP MariSilicon X beraksi cemerlang. Telefon ini secara automatik menggunakan skrinnya untuk memenuhkan cahaya subjek untuk menghasilkan swafoto yang lebih jelas ketika dalam gelap. Ketiadaan cahaya dari skrin hadapan ini membuatkan gambar yang anda tangkap dalam keadaan gelap tersebut langsung tidak berguna.OPPO Reno 8 Pro 5G Camera

Secara keseluruhannya, kamera utama 50MP pada Reno 8 Pro ini sememangnya amat padu sungguhpun kamera-kameranya yang lain tidak semenggah. Kamera hadapannya pula boleh tahan dengan benar-benar memanfaat ISP MariSilicon X untuk tangkapan imej di dalam keadaan gelap.

Prestasi dan Perisian Oppo Reno 8 Pro 5G

Apa yang membuatkan saya begitu tertarik dengan Oppo Reno 8 Pro ini adalah pada penggunaan cipset MediaTek Dimensity 8100+ yang bergandingan dengan RAM 12GB. Pemprosesan ini dilihat mampu menjimatkan tenaga dengan baik terutamanya ketika dalam keadaan berkeperluan kuasa rendah. Atas sebab itu, baterinya yang berkapasiti 4,500mAh sudah memadai bagi kegunaan harian.

Kuasa pemprosesannya juga mampu memainkan pelbagai permainan mudah alih dengan lancar termasuk judul-judul yang mampu dimainkan pada tetapan grafik tinggi seperti PUBG Mobile, Asphalt 9: Legends dan Genshin Impact.OPPO Reno 8 Pro 5G Genshin Impact

Kualiti grafiknya mantap secara konsisten walaupun ketika dalam keadaan ‘kucar-kacir’ di dalam permainan-permainan tersebut. Tambahan pula, ketika memainkan untuk tempoh yang agak lama, Oppo Reno 8 Pro tidak menghasilkan haba yang terlalu panas seperti yang sering berlaku pada sesetengah telefon pintar mercu.

Antaramuka Oppo ColorOS 12.1 berasaskan Android 12 digunakan di dalam telefon pintar dan ia merupakan jenis sama seperti Oppo Find X5 Pro. Sistem ini secara keseluruhannya pantas dan amat boleh diharap. Cuma ia agak terlebih rajin dalam menghantar notifikasi.

Pengurusan tenaganya pula agak agresif dan mampu mengoptimumkan penggunaan bateri. Disebabkan itu, beberapa ciri yang mungkin berguna kepada pengguna seperti skrin sentiasa terpasang (AOD) telah dimatikan secara lalai dan anda perlu mengaktifkannya jika mahukannya.OPPO Reno 8 Pro 5G Lock Screen

Skrin AMOLED 6.7-inci Oppo Reno 8 Pro ini memaparkan warna yang amat meriah dengan kontras yang kuat. Paparannya sentiasa nampak cantik tanpa perlu menghidupkan mod penaik warna.

Warna paparannya ini bagaimanapun masih lagi boleh diubah tetapan di dalamnya bagi anda yang mungkin lebih gemarkan warna yang nampak lebih semula jadi.

Menonton video melalui telefon pintar ini juga lebih memukau dengan pembesar suara stereonya yang berkualiti. Sungguhpun bunyi ‘bass’ pembesar suaranya agak kurang menyengat, kejelasan suaranya amat baik dan sesuai untuk anda mendengar dialog dalam filem atau video ceramah dengan lebih jelas.

Bateri dan pengecasan Oppo Reno 8 Pro 5G

Pengguna harian biasa seperti media sosial, mesej, beberapa aplikasi ringan, notifikasi, ambil beberapa foto + video, dan bersambung dengan jam tangan pintar menjadikan telefon pintar ini mampu bertahan selama dua hari sebelum dicaskan.

Pun begitu, tempoh penggunaannya lebih pendek jika anda membuat tugasan-tugasan berat seperti menyunting video, bermain permainan video, atau kerap merakam video.

Tapi jangan bimbang kerana telefon pintar ini menggunakan sistem pengecasan pantas Oppo SuperVOOC 80W yang mampu mengecaskan sehingga 50% kapasiti bateri dalam tempoh 11 minit sahaja. Ini bermakna, anda hanya perlukan kira-kira setengah jam sahaja untuk memenuhkan kapasitinya.OPPO Reno 8 Pro 5G USB-C Port

Oppo Reno 8 Pro bagaimanapun tidak menyediakan sokongan pengecasan nirwayar. Ini tidak menjadi hal kerana sekurang-kurangnya pada tahun 2022 ini, Oppo masih lagi menyediakan pengecas Oppo SuperVOOC 80W di dalam kotak pembungkusannya.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, daya tarikan utama Oppo Reno 8 Pro adalah pada skrinnya yang terang, pemprosesan MediaTek 8100+, kamera utama 50MP Sony IMX766 dan juga ciri rekabentuknya yang menarik.

Kuasa pemprosesan MediaTek yang digunakannya juga boleh tahan untuk kegunaan memainkan permainan mudah alih dan beberapa tugasan berat. Dalam pada masa yang sama, optimasi penggunaan tenaganya juga amat baik hingga mampu bertahan sehingga dua hari. Jika bateri anda habis sekalipun, ia mampu dicaskan dengan pantas melalui sokongan Oppo SuperVOOC 80W.

Sedikit kekurangan adalah pada kamera bersudut lebar 8MP dan makro 2MP yang ditempatkan di belakangnya. Beza antara kamera-kamera ini dengan kamera utama 50MP yang disediakannya ibarat langit dengan bumi kerana beza kualiti yang terlalu ketara.

Kelebihan Oppo Reno 8 Pro 5G

  • Reka bentuk kaca yang ringan
  • Bateri tahan hingga dua hari
  • Pengecasan pantas
  • Kamera utama 50MP Sony IMX766 tangkap gambar cun
  • Bakal terima kemaskini Android 13 tidak lama lagi

Kekurangan Oppo Reno 8 Pro 5G

  • Tiada pengecasan nirwayar
  • Kamera bersudut lebar yang agak sendu

Harga Oppo Reno 8 Pro 5G di Malaysia

Anda boleh mendapatkan Oppo Reno 8 Pro 5G (RAM 12GB + Storan 256GB) pada harga RM3,489 boleh didapati di:

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.