Utama Android Oppo OPPO Reno 8 dan Reno 8 Pro dilancarkan di Malaysia secara rasminya...

OPPO Reno 8 dan Reno 8 Pro dilancarkan di Malaysia secara rasminya hari ini

947
0

OPPO telah melancarkan dua telefon pintar baharunya di Malaysia iaitu OPPO Reno 8 dan Reno 8 Pro. Kedua-dua telefon pintar peringkat menengah ini kini sudah mula ditawarkan di kedai rasminya di Shopee dan Lazada.

Pembelian pra-tempahan akan ditawarkan dengan pelbagai cenderahati percuma yang menarik.

Spesifikasi OPPO Reno 8 Pro

Telefon pintar ini menawarkan paparan FHD+ 6.7-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Paparan dengan nisbah skrin-ke-badan 93.4% ini turut menawarkan liputan 100% gamut warna DCI-P3 dan kecerahan maksimum biasa pada 500 nits dan mampu mencapai sehingga 800 nits dalam mod kecerahan tinggi. Skrin ini juga dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5 bagi mengurangkan kesan calarnya.

Untuk kuasa pemprosesannya, ia menggunakan MediaTek Dimensity 8100-Max yang turut didatangkan bersama-sama ruangan wap besar dengan lapisan grafena bagi mengurangkan kesan habanya. Bergandingan dengan RAM LPDDR5 12GB dan storan UFS 3.1 256GB, telefon pintar ini menggunakan antaramuka ColorOS 12.1 yang berasaskan Android 12.

Kameranya pula menampilkan pengimejan NPU MariSilicon X yang sebelum ini turut digunakan pada OPPO Find X5 Pro. NPU ini menguruskan imej-imej yang diambil oleh tri-kamera pada belakangnya yang terdiri daripada kamera utama 50MP, f/1.8 dengan sensor Sony IMX766, kamera ultralebar 8MP, f/2.2 dan lensa makro 2MP, f/2.4. Bahagian hadapannya pula menempatkan kamera 32MP f/2.4 yang menggunakan sensor Sony IMX709.

Baterinya yang berkapasiti 4,500mAh ini juga menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 80W yang menurut OPPO mampu mengecas bateri anda sehingga 50% dalam tempoh 11 minit sahaja. Selain itu, bateri ini juga mampu bertahan sehingga 1,600 kali kitaran pengecasan.

Lain-lain ciri yang terdapat pada OPPO Reno 8 Pro 5G ini termasuklah pengimbas cap jari terbina dalam paparan, pembesar suara stereo, dan sokongan NFC, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.3 dan ketersambungan 5G. OPPO Reno 8 Pro 5G hadir dengan dua pilihan warna iaitu Glazed Green dan Glazed Black

Spesifikasi OPPO Reno 8

OPPO Reno 8 pula hadir dengan skrin yang lebih kecil iaitu paparan AMOLED FHD+ 6.4-inci dengan kadar penyegaran semula sehingga 90Hz. Paparannya ini juga mempunyai lapisan perlindungan Corning Gorilla Glass 5 seperti versi Pro, namun bahagian belakangnya cuma menggunakan bahan plastik berbanding OPPO Reno 8 Pro.OPPO Reno8 5G

Telefon pintar ini menggunakan cipset MediaTek Dimensity 1300 dengan RAM LPDDR4X 8GB dan storan UFS 3.1 256GB. Ia juga mempunyai ruang pengewapan sistem penyejukan cecair bagi mengurangkan kesan panas yang dijananya. Ia juga menggunakan ColorOS yang berasaskan Android 12.

Tiada unit pemprosesan neural untuk pengimejan MariSilicon X disediaakan sebagaimana model Pro. Namun ia masih mempunyai kamera utama 50MP, f/1.8 dengan sensor Sony IMX766, kamera ultralebar 8MP, f/2.2 dan lensa makro 2MP, f/2.4. Kamera hadapannya juga sama dengan kamera 32MP f/2.4 yang menggunakan sensor Sony IMX709.

Kapasiti baterinya juga sama seperti versi Pro iaitu 4,500mAh. Terdapat juga pengimbas cap jari terbina dalam, sokongan 5G, Bluetooth 5.3, WiFi 6 dan NFC. Telefon pintar yang hadir dengan pilihan warna Shimmer Black dan Shimmer Gold ini bagaimanapun tidak mempunyai pembesar suara stereo.

Harga OPPO Reno 8 Pro 5G dan Reno 8 5G di Malaysia

OPPO Reno 8 dan Reno 8 Pro kini boleh dipra-tempah di Shopee dan Lazada selain turut ditawarkan di wakil-wakil jualan yang sah di seluruh negara. Berikut adalah harga yang ditawarkan bagi pasaran Malaysia:

  • Oppo Reno 8, RAM 8GB storan 256GB – RM2,399
  • Oppo Reno 8 Pro, RAM 12GB storan 256GB – RM3,499

Bagi anda yang membuat pra-tempahan Reno 8, anda boleh menebus cenderahati percuma bernilai sehingga RM1,486 yang turut menawarkan kotak hadiah eksklusif Reno 8 bernilai RM399. Selain itu, anda juga berpeluang meneruma perlindungan kerosakan skrin OPPO Care selama setahun bernilai RM199 dan sehingga RM888 bagi My Oppo Members Privileges.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.