OpenAI telah mengumumkan prototaip enjin carian dikuasakan oleh AI baharu, SearchGPT, menandakan kemasukannya ke pasaran yang dikuasai oleh Google pada ketika ini. Dinyatakan sebagai “prototaip sementara ciri carian AI baharu”, alatan carian keluaran OpenAI ini mensasarkan untuk membawakan jawapan yang pantas dan jitu dengan sumber yang jelas dan relevan.
Prototaip ini dibangunkan hasil kerjasama dengan pelbagai organisasi berita termasuk The Atlantic dan News Corp yang masing-masing mempunyai perjanjian perlesenan dengan OpenAI.
Syarikat yang bertanggungjawab memperkenalkan ChatGPT ini juga menegaskan SearchGPT direka untuk menghubungkan pengguna dengan penerbit melalui petikan dan pautan terus ke sumbernya yang betul. Penerbit juga mempunyai kawalan bagaimana kandungannya dipersembahkan dan boleh memilih untuk tidak membenarkan kandungannya digunakan untuk melatih model-model OpenAI.
SearchGPT bergantung pada model GPT-4 dan menampilkan antaramuka ringkas dengan kotak carian. Hasil cariannya pula dikategorikan dengan keterangan pendek dan paparan visual berbanding pautan terus seperti kebiasaan. Setiap satunya akan disertakan dengan pautan hiper ke bahan rujukan yang disenaraikan. Sama seperti ChatGPT, pengguna juga boleh bertanyakan soalan susulan dan ia akan memahami konteks sesuatu kuiri.
Buat masa ini, prototaip enjin carian OpenAI ini masih lagi belum dibuka kepada orang ramai dan hanya ditawarkan secara terhad kepada sebilangan pengguna. Menurut OpenAI, pihaknya kini merancang untuk menguji SearchGPT dengan 10,000 pengguna terawal sebelum mengintegrasikannya dengan ChatGPT.