OnePlus dan Hasselblad secara rasmi menamatkan kerjasama lima tahun antara kedua-dua belah pihak, menandakan perubahan dalam pendekatan fotografi mudah alih. Kerjasama yang bermula dengan siri OnePlus 9, telah membawakan jenama dan penalaan pengimejan Hasselblad ke dalam setiap telefon pintar mercu keluarannya.
Kini pengeluar telefon pintar berkenaan telah memperkenalkan sistem proprietarinya sendiri yang dinamakan sebagai DetailMax Engine.
Menerusi hantaran di blog OnePlus enggan mendedahkan punca sebenar ‘perceraian’ tersebut, hanya menyatakan bahawa Hasselblad amat mementingkan ketelitian dan kejituan. Citarasa estetik tersebut juga telah menjadi sebahagian daripada ‘DNA pengimejan OnePlus’. Ketua Pegawai Eksekutif Pete Lau menambah walaupun kerjasama telah tamat, pengaruhnya akan terus kekal di dalam peranti-peranti yang akan datang.
DetailMax Engine akan menjadi permulaan era baharu di dalam perkomputeran fotografi OnePlus. Menurut Lau, sistem berkenaan telah direka dengan tujuan menghasilkan foto yang paling jelas dan jitu pada telefon pintar. Beliau turut menyatakan telah pun menguji prototaip awal teknologi tersebut yang memanfaatkan algoritma baharu untuk kedalaman yang dipertingkatkan, realisme, dan keseimbangan cahaya.
Sungguhpun OnePlus telah berpisah dengan Hasselblad, kerjasama Hasselblad dengan pengeluar lain seperti OPPO masih lagi berlangsung. Kerjasama antara kedua-duanya diteruskan pada Julai tahun ini dengan mengesahkan pengimejan Hasselblad akan hadir pada siri OPPO Find X9 yang akan datang.













