YTL Communications pada bulan lepas telah mengumumkan telah dipilih oleh NVIDIA sebagai GeForce Now Alliance Partner untuk Malaysia dan dengan kata lain perkhidmatan permainan awanan NVIDIA ini secara rasminya akan hadir ke pasaran Malaysia.
Sungguhpun GeForce Now kini boleh diakses oleh pemain-pemain di Malaysia tidak berapa lama sebelum ini, perkhidmatan tersebut tidak ditawarkan oleh rakan kongsi tempatan. Ia hanya boleh didapati menerusi syarikat telekomunikasi Singapura StarHub.
Perkhidmatan tersebut disediakan menerusi pelayan yang ditempatkan di Singapura dan para pemain yang ingin mengaksesnya juga perlu membayar di dalam nilai mata wang Dollar Singapura.
Menurut laman web rasmi GeForce Now Amerika Syarikat, perkhidmatan tersebut kini menyokong lebih dari 1,000 judul permainan dari pelbagai pembangun dan penerbit. Ia juga merangkumi lebih dari 100 judul permainan percuma seperti Fortnite dan Genshin Impact. Bagaimanapun, untuk judul yang berbayar, anda perlu memiliki permainan tersebut terlebih dahulu untuk mengaksesnya.
YTL bagaimanapun masih belum mendedahkan tarikh pelancaran perkhidmatan tersebut ke pasaran Malaysia buat masa ini. Maklumat lanjut dan pendaftaran minat, layari https://www.yes.my/cloudgaming