Utama Mobile Nex.Life Connect tawarkan Internet tanpa had untuk pengguna rumah dan mudah alih...

Nex.Life Connect tawarkan Internet tanpa had untuk pengguna rumah dan mudah alih pada kadar RM100, Dikuasakan oleh Webe

971
0

Hadir tanpa sebarang promosi besar-besaran, sebuah penyedia rangkaian telekomunikasi di bawah jenama Nex.Life menawarkan pakej internet jalur lebar yang menggabungkan penggunaan di rumah dan mudah alih dalam satu pelan.

Turut diperkenalkan, pelan terbaru yang dikenali sebagai Nex.Life Connect menyediakan kuota tanpa had untuk penggunaan di rumah mahupun secara mudah alih.

Ini bermakna, pengguna hanya perlu membayar satu pelan sahaja pada RM110 sebulan yang merangkumi kedua-dua jenis penggunaan talian internet tersebut. Buat masa ini, bersempena pelancaran julung kalinya pelan berkenaan ditawarkan pada kadar RM100 sebulan. Selain dari itu, beberapa perkara perlu diambil oleh pengguna sebelum mendaftar untuk pelan internet tanpa had terbabit.

Sebagai contoh, Nex.Life adalah sebahagian dari Webe Digital yang kini dibawah TM. Bahagian yang sama di dalam TM ini juga turut mengendalikan Unifi Mobile yang menawarkan pakej pengguna di rumah dan mudah alih. Cuma bezanya, ia tidak menggabungkan ke dalam satu pakej seperti yang ditawarkan oleh Nex.Life.

Pakej jalur lebar di rumah pelan Nex.Life ini tidak menggunakan rangkaian mudah alih. Ini berdasarkan keterangan di dalam Soalan-soalan Lazim yang menyatakan ianya menggunakan talian tetap jalur lebar gentian berasaskan data sahaja yang menawarkan kelajuan sehingga 20Mbps. Untuk penggunaan Wi-Fi, pelanggan perlu membeli sendiri router tersebut.

Untuk pakej mudah alih pula, terdapat kuota data secara spesifik 500MB sebulan untuk penggunaan di luar kawasan liputan LTE. Kuota data tanpa had hanya tertakluk bagi penggunaan di dalam kawasan liputan LTE sahaja. Kelajuan internet untuk penggunaan di luar kawasan LTE akan disekat kepada 64kbps selepas kehabisan kuota. Pelanggan perlu membuat pembelian tambahan kuota jika ingin mendapatkan semula kelajuan biasa sebelum disekat.

Oleh kerana produk ini datangnya dari Webe, tidak mengejutkan apabila pelanggan-pelanggannya dikehendaki membeli pas hotspot jika ingin berkongsikan talian Nex.Life dengan peranti-peranti lain. Untuk kadar panggilan dan SMS pula, ia ditetapkan masing-masing pada RM0.20 seminit dan RM0.15 setiap SMS.

Harus diingatkan, langganan Nex.Life Connect hadir dengan kontrak bertempoh 12 bulan bersama-sama bayaran pendahuluan RM300 dan bakal dimasukkan ke dalam bil pelanggan.

Layari Nex.Life untuk maklumat lanjut.

Sumber berita diperoleh dari Nex.Life – 1, 2

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.