Tidak sampai sebulan selepas Netflix mengumumkan kemerosotan pertumbuhan dan pengurangan jumlah pelanggannya yang pertama kali berlaku sejak lebih dari sedekad, kini The New York Times melaporkan platform penstriman kandungan tersebut akan mempercepatkan langkah pemulihan semula.
Netflix sebelum ini pernah menyatakan secara terbuka mengenai hasrat untuk menaikkan kadar bayaran bagi pengguna yang berkongsikan akaun. Bagaimanapun, selepas menerima reaksi orang ramai, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Reed Hastings telah mengutarakan cadangan untuk memperkenalkan iklan di dalam Netflix dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.
Menurut laporan The New York Times lagi, pihak eksekutif Netflix kini mensasarkan untuk memperkenalkan pelan langganan dengan iklan dalam tempoh tiga bulan terakhir 2022. Dalam tempoh tersebut juga Netflix mensasarkan untuk menyelesaikan isu perkongsian kata laluan di kalangan penggunanya.
Dalam perkembangan lain, Disney Plus turut mengumumkan hasrat untuk memperkenalkan pelan langganan bersama-sama iklan pada Mac baru-baru ini. Setakat ini, kesemua pesaing Netflix selain Apple TV Plus telah memperkenalkan atau mengumumkan pelan dengan iklan masing-masing.