Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperkenalkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu bermula 1 Jun ini. Dokumen perjalanan wajah baharu itu dilengkapkan dengan 94 ciri keselamatan tinggi. Tujuannya bagi membendung isu pemalsuan serta kecurian identiti dengan lebih berkesan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, memaklumkan bilangan ciri keselamatan pada pasport baharu ini meningkat hampir sekali ganda. Peningkatkan berbanding pasport sedia ada yang hanya memiliki 49 ciri keselamatan.
Langkah ini diambil demi memperkukuh benteng pertahanan dokumen pengenalan rasmi negara daripada ancaman sindiket pemalsuan antarabangsa.
“Sebelum ini ciri keselamatan kita sudah baik, tetapi untuk versi baharu ini, kita tingkatkan hampir satu kali ganda iaitu 94 ciri keselamatan. Ini bertujuan bagi memastikan pasport ini kekal selamat dan semakin sukar untuk dipalsukan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JIM 2025 di Putrajaya.
Peningkatan Teknologi dan Ciri Keselamatan Forensik
Antara pembaharuan teknikal yang dimuatkan dalam pasport generasi baharu ini termasuklah penggunaan hologram keselamatan yang dipertingkatkan, cetakan sinaran ultraungu (UV), serta elemen visual tersembunyi.
Malah, benang khas yang digunakan untuk proses jahitan buku pasport tersebut turut mempunyai ciri keselamatan forensik yang unik dan sukar ditiru.
Di samping itu, pasport ini mengekalkan penggunaan cip elektronik biometrik antipemalsuan (non-clonable) yang mengunci data pemilik. Termasuk penggunaan imej wajah beresolusi tinggi dan cap jari digital secara selamat.
Enskripsi data ini membolehkan pengesahan pantas di pintu sempadan antarabangsa secara interoperabiliti (keserasian operasi antara sistem kawalan global).
Bagi sudut estetika, pasport baharu ini menampilkan reka bentuk visual yang meraikan warisan budaya Malaysia. Setiap halaman visa direka secara unik untuk memaparkan mercu tanda ikonik serta pencapaian seni bina negara.
Pelaksanaan Secara Berperingkat di Empat Pejabat Utama
Menurut Zakaria, pengeluaran dokumen ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 1 Jun ini di empat pejabat pasport perintis sebagai fasa permulaan, iaitu:
- Ibu Pejabat Imigresen Malaysia di Putrajaya
- Pejabat Imigresen Kuala Lumpur
- Pejabat Pasport Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wangsa Maju
- Pejabat Imigresen Shah Alam
Seterusnya, pengeluaran pasport wajah baharu ini akan diperluaskan ke seluruh pejabat cawangan imigresen di seluruh negara secara berperingkat menjelang penghujung Julai ini.
Amaran Penggunaan Foto AI dan Status Pasport Sedia Ada
Dalam pada itu, JIM turut memberikan peringatan tegas kepada pemohon yang melakukan urusan secara dalam talian (online) agar tidak menggunakan gambar yang dijana atau diubah suai menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Pihak imigresen telah mengesan beberapa cubaan pemohon yang mencerahkan atau menyunting gambar mereka secara keterlaluan sebelum dimuat naik.
Zakaria menegaskan pegawai bertugas mempunyai keupayaan teknologi dan kepakaran untuk mengesan sebarang bentuk pengubahsuaian digital pada gambar yang dihantar.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terburu-buru menukar pasport mereka semata-mata kerana pengenalan versi baharu ini. Pasport sedia ada masih sah diguna pakai sehinggalah tarikh tamat tempoh dokumen berkenaan.
“Rakyat Malaysia diminta memberikan kerjasama dan tidak perlu bersesak di pejabat imigresen. Sekiranya tempoh sah laku pasport masih melebihi enam bulan, ia tidak perlu ditukar sekarang dan boleh diperbaharui selepas tamat tempoh nanti,” ulas beliau lagi.
Langkah peningkatan kualiti pasport ini adalah sebahagian daripada perancangan strategik Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti yang diumumkan oleh Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini, bagi menaik taraf dokumen penting negara termasuk pasport dan MyKad seiring dengan perkembangan teknologi semasa serta keselamatan sempadan.












