Microsoft telah mengumumkan akan menamatkan sokongan rasmi untuk Windows 11 SE, sistem operasi ringan yang direka menyaingi Google ChromeOS, menjelang Oktober 2026. Tiada lagi kemaskini perisian, kemaskini keselamatan dan bantuan teknikal disediakan selepas dari tarikh itu.

Dilancarkan pada 2021, platform berkenaan diperkenalkan sebagai versi Windows yang digaris alir (streamlined) untuk kegunaan pendidikan. Ia dioptimasikan untuk peranti berspesifikasi rendah dan diperkenalkan bersama-sama Surface Laptop SE. Disasarkan untuk kumpulan pengguna seperti pelajar dan institusi pendidikan, ia mampu memberikan pengalaman kepenggunaan Windows yang lebih mudah dan mampu milik.
Walaupun usaha mewujudkan sistem operasi yang lebih ringkas dilihat berkesan untuk platform ini, Windows 11 SE kurang mendapat sambutan yang menggalakkan. Malah penawaran perantinya juga agak terhad.
Menurut Microsoft, peranti Windows 11 SE sedia ada akan terus berfungsi selepas tarikh akhir sokongannya pada Oktober 2026. Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan supaya mula beralih ke peranti yang menyokong Windows 11 bagi mengekalkan akses untuk sokongan dan kemaskini keselamatan.