Sejak Apple mula menerima pemasangan papan kekunci pihak ketiga pada iOS 8, lebih banyak papan kekunci alternatif hadir memenuhi permintaan pengguna yang inginkan kelainan antara muka papan kekunci. Hinggakan penerbit papan kekunci pihak ketiga yang sinonim dengan Android turut hadir menawarkan pilihan. Kini, iOS menerima papan kekunci alternatif dari sumber yang tidak dijangka; Microsoft.
Menurut The Verge, Microsoft baru-baru ini menghantar emel kepada ahli-ahli Windows Insider untuk mendapatkan sukarelawan pengguna iOS dalam pengujian papan kekunci berkenaan.
Usaha ini dilihat menarik apabila memikirkan bagaimana untuk Microsoft menjana keuntungan dari penawaran ini memandangkan ianya berkemungkinan akan hadir secara percuma melainkan dengan cara integrasi dengan Bing.
Sesetengah pihak bersetuju bahawa papan kekunci pada Windows Phone adalah lebih baik dari apa yang ditawarkan oleh Apple dan juga papan kekunci stok yang ditawarkan oleh Google terhadap Android. Salah satu ciri menarik pada papan kekunci Windows Phone adalah kursor berintegrasi yang bertujuan memudahkan pengguna menelusuri teks-teks yang sudah ditaip.
Sehingga kini masih belum kedengaran sebarang berita untuk membawakan aplikasi papan kekunci ini ke peranti Android. Namun, jika ianya hadir dalam masa yang terdekat ini, ia tidak mengejutkan memandangkan syarikat berpengkalan di Redmond ini berhasrat untuk membangunkan aplikasi untuk kedua-dua platftorm.
Microsoft masih belum menyatakan tarikh aplikasi ini akan menemui pengguna dan dijangkakan dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi selepas selesai peringkat beta.
-Sumber berita diperoleh dari The Verge