Fixstars telah melancarkan pemacu storan SSD, Fixstars SSD-13000M yang berkapasiti 13 terabit sekaligus menjadikannya pemacu storan SSD paling besar kapasitinya di dunia. Storan ini hadir dalam bentuk 2.5 inci dan boleh dipasang pada kerangka komputer desktop sama seperti cakera keras tradisional lain.
Selain dari model 13 TB, Fixstars turut memperkenalkan model 10 TB. Kedua-dua model storan ini memiliki kelajuan baca (read speed) maksima 540 Mbps dan kelajuan menulis (write speed) sehingga 520 Mbps.
Atas faktor kapasiti storannya yang terlalu besar, SSD ini hadir dengan sistem kawalan suhu yang mensasarkan pengurangan risiko akibat masalah lampau panas pada pemacu storan ini. Selain itu, ia turut tampil dengan mod ketahanan dan apabila diaktifkan, pengguna mampu memanjangkan jangka hayat pemacu ini sehingga tiga kali ganda. Bagaimanapun, pengaktifan mod ini akan mengakibatkan separuh dari ruangan storan pemacu ini tidak boleh digunakan untuk menyimpan data dan fail.
Samsung turut terlibat dalam saingan mengeluarkan pemacu storan SSD paling besar kapasiti di dunia apabila berhasrat ingin mengeluarkan pemacu storan SSD dengan kapasiti 16 TB sebagaimana yang diumumkan pada bulan Ogos 2015 lalu. Sehingga itu, selagi Samsung masih lagi belum mengeluarkan produk berkenaan, Fixstars masih mengungguli tempat selaku pengeluar pemacu storan SSD terbesar di dunia.
Pemacu storan SSD ini tidak disasarkan untuk pengguna biasa dan ia khusus untuk kegunaan menguruskan data bertugasan berat dan pemprosesan video. Oleh itu, harga yang disebutkan oleh pengeluarnya kepada PC World adalah sekitar USD 13,000 atau bersamaan RM 57,000. Harga dah dekat sama harga Perodua Myvi 1.5.
-Sumber berita diperoleh dari Tech Radar